Bukan senang untuk sesiapa dikejutkan oleh Harrison Ford.

Media hari ini melaporkan, pelakon berusia 73 tahun itu terbabit dalam kempen pertubuhan amal Omaze melalui filem Star Wars: The Force Awakens.

Melalui kempen mengumpul dana untuk pertubuhan berkenaan, peminat filem Star Wars berpeluang berbual melalui kaedah sembang video dengan beberapa individu bertuah.

Penyumbang bertuah itu pula dipilih di kalangan individu yang pernah menghulurkan bantuan kepada Omaze.

Perbualan berkenaan - yang dirakam - berlangsung secara spontan pada awalnya. Mereka menyangka sedang bercakap dengan salah seorang petugas Omaze.

Dengan menggunakan slogan Star Wars: Force For Change dua kakitangan Omaze berbual dengan peminat filem berkenaan sebelum Ford membuat kemunculan mengejutkan.

Melihat reaksi mereka berdepan dengan pelakon terkenal itu memang amat menghiburkan.

Perbualan itu bermula dengan petugas Omaze mengucapkan penghargaan kepada individu terpilih atas pembabitkan mereka dalam kempen mengumpul dana.

'Hai Harrison'

Mereka kemudian ditanya sama ada meminati filem Star Wars.

Tanpa diduga Ford muncul di depan kamera dan membuat kejutan.

Salah seorang peminat itu ditanya, siapakah watak paling diminatinya dalam filem Star Wars.

"Saya meminati Padme," kata wanita itu, sebelum Ford muncul dan bertanya sekali lagi mengenai pilihannya.

"Hai Harrison," kata wanita itu dengan wajah yang jelas terkejut.

Dan sudah tentu dia kemudian menukar watak kegemarannya daripada Padme kepada Han Solo.

Padme Amidala adalah watak yang dibawa oleh Natalie Portman, manakala Ford menjayakan watak Han Solo.

Selain membintangi filem Star Wars sejak mula, Ford turut menempa nama melalui pelbagai filem popular termasuk siri Indiana Jones , Air Force One dan Clear and Present Danger.

Star Wars: The Force Awakens akan mula ditayangkan di seluruh dunia bulan depan, manakala promosi mengenainya dimulakan sejak Disember tahun lalu.