Tya 'terjebak' Bawang Putih Bawang Merah
Gara-gara pertemuan tidak dirancang ketika mahu menonton wayang, pasangan pengantin baru Asyraf Khalid dan Tya Arifin akhirnya ‘terjebak’.
Namun ia bukanlah sesuatu yang negatif, sebaliknya mereka berdepan dengan tawaran yang tidak disangka.
Memang tuah memihak kepada Tya - atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin, 21, apabila akhirnya ditawarkan berlakon dalam teater arahan Erma Fatima, Bawang Putih Bawang Merah.
Menceritakan detik itu, Asyraf berkata, dia dan Tya bertemu dengan Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani.
Dalam pertemuan itu Mohamed Juhari - atau lebih mesra dipanggil Abang Joe - mencadangkan agak Tya berlakon teater di Istana Budaya.
“Ia bermula apabila saya bertemu Datuk Juhari untuk membincangkan suatu perkara, dan ketika itulah dia menyatakan hasratnya untuk melihat Tya berlakon dalam teater Bawang Putih Bawang Merah .
“Dan kebetulan, Tya ikut sama ketika itu," kata Asyraf kepada Malaysiakini selepas sidang media mengumumkan pementasan teater Bawang Putih Bawang Merah di Istana Budaya semalam.
Segan nak tolak
Pasangan pengantin baru itu diijabkabulkan di Palembang Indonesia awal bulan ini. Ia turut dihadiri ibu tiri Asyraf, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.
Sebelum bergelar isteri, Tya memang dikenali di negaranya sebagai pelakon sinetron, filem dan penyanyi. Justeru minatnya dalam bidang itu tidak dihalang oleh Asyraf walaupun selepas mereka mendirikan rumahtangga.
Malah Tya sendiri secara terbuka menyatakan hasratnya untuk meluaskan bakatnya di negara ini.
Kata Asyraf, Erma kemudian menyatakan keinginannya menyunting Tya sebagai pelakon.
"Disebabkan saya mengenali mereka berdua sudah lama, segan rasanya untuk menolak,” katanya.
Asyraf berkata, tawaran itu juga sukar ditolak apabila mengenangkan isterinya memang masih aktif berlakon.
“Tya memang teruja untuk berlakon dan tidak boleh duduk diam, ia sebahagian daripada jiwanya,” kata Asyraf.
Dalam teater itu nanti Tya akan membawakan watak Melur, sahabat Bawang Putih (Juliana Evans).
Sementara itu Tya berkata, tawaran itu bagaikan jawapan kepada permintaannya yang ‘dahaga’ untuk beraksi dalam dunia hiburan di sini.
“Di Jakarta sentiasa ada aktiviti, tetapi bila di Malaysia, aduh, hendak buat apa ya?
“Memasak sudah selesai, kemas sudah selesai, keperluan suami sudah disediakan. Lalu saya katakan: Bi (gelaran untuk Asyraf) carikan kerja,” ujarnya berseloroh.
Adaptasi gaya Malaysia
Untuk makluman, Tya sudah berlakon dalam beberapa filem seperti Garuda Superhero (2015) dan Gila dan Jiwa (2015) selain sinetron Para Pencari Tuhan (2014) serta Preman Pensiun (2015).
Mengulas mengenai cabaran sebagai Melur, Tya berkata, dia mungkin menghadapi sedikit kesukaran untuk berbahasa Melayu seperti orang Malaysia.
"Walaupun tiada banyak beza dari segi lakonan berbanding di Indonesia, aspek bahasa dan sebutan mungkin agak sukar.
“Saya perlu mengadaptasi gaya di Malaysia," katanya.
Namun Tya yakin ia akan dapat diatasi dengan bantuan suaminya. Malah, kata Tya dia kini turut mula mempelajari lohgat Kedah.
Untuk makluman, bapa Asyraf, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa adalah anak kelahiran Kedah.
Ditanya sama ada Tya menyimpan impian untuk berduet bersama Siti Nurhaliza, ini reaksinya: "Pasti ada. Kalau boleh hendak berduet dengan Mak Iti (panggilannya untuk Siti) kerana dia antara diva yang saya minati sejak kecil. Beliau juga diva di negara saya.
“Saya juga berharap berpeluang berlakon di bawah arahan Osman Ali,” katanya.
Bawang Putih Bawang Merah akan dipentaskan mulai 3 hingga 8 Disember di Istana Budaya. Ia turut diarahkan secara bersama oleh A Aris A Kadir dan menampilkan pelakon seperti Nur Fathia Latiff, Syarul Ridzwan, Beto Kusyairy, Nabila Huda dan Fazlina Ahmad Daud.

