Bercium terlalu lama, Spectre ditapis di India
Kadar jenayah seksual yang tinggi - terutama kes rogol beramai-ramai - di India mungkin mendorong pihak penapisan negara itu bersikap lebih berhati-hati dengan produksi filem.
Terbaru, filem James Bond, Spectre , menjadi sasaran Lembaga Penapisan Filem Mumbai meneliti karya itu dengan lebih teliti.
Hasilnya, agensi berkenaan mengarahkan adegan intim membabitkan pelakon Daniel Craig, Monica Belluci dan Lea Seydoux ditapis atas alasan tidak sesuai untuk tontonan umum.
Dengan ketetapan itu sekurang-kurangnya empat babak aksi intim dalam Spectre dipotong.
#SanskariJamesBond just after the Ayudha pooja P.S: Mooch styled on @styl_ai pic.twitter.com/zDrkFU2KJ0
— STYL (@styl_ai) November 18, 2015
Memetik kenyataan pengerusi lembaga penapisan itu, Pahlaj Nihalni, media melaporkan pihak berkuasa beranggapan babak bercium yang dimaksudkan itu mengambil masa terlalu panjang.
“Sony Pictures terpaksa memotong hingga 50 peratus babak bercium.
“Syarikat pengedaran perlu memilih sama ada menerima penapisan itu dan tayangan dibenarkan, atau memohon sijil A yang akan menyebabkan kerugian,” katanya.
Mengikut undang-undang India, filem dengan kelulusan A - atau untuk tontonan dewasa - dilarang disiarkan di televisyen.
Secara tidak langsung, filem dengan sijil A akan mendapat pasaran tontonan lebih kecil berbanding filem kategori biasa.
Selain memegang jawatan pengerusi lembaga penapisan filem, Pahlaj adalah penerbit filem dan pernah menghasilkan video kempen untuk Perdana Menteri Narendra Modi.
#SanskariJamesBond #Spectre #JamesBond
Posted by Sanskari James Bond on Wednesday, November 18, 2015
Keputusan agensi itu bagaimanapun menimbulkan bantahan pengkritik di alam maya, malah mereka mendakwa Pahlaj engaja menyekat hak kebebasan bersuara.
Ia juga mengundang pelbagai reaksi sinikal di kalangan pengguna Twitter yang menggunakan hashtag #SanskariJamesBond sebagai langkah menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap lembaga penapisan.
Walaupun India kekal menjadi negara penyumbang kecil kutipan jualan filem Hollywood, untuk sesetengah produksi ia mampu mencatat pungutan lebih lumayan berbanding filem tempatan.
Fifty Shades of Grey yang diadaptasi daripada novel erotik E L James tidak ditayangkan di India walaupun selepas hampir setiap adegan seksual di dalamnya dipotong.
Lembaga penapisan memberi alasan, ia masih tidak sesuai ditayangkan kerana bahasa yang digunakan tidak wajar.

