Pelakon Sharifah Haslinda Syed Abu Bakar dilapor menarik balik permohonan cerai yang difailkan terhadap suaminya Timbalan Menteri Luar Datuk Reezal Merican Naina Merican.
Notis penarikan balik itu, difailkan Haslinda selaku plaintif menerusi peguamnya Ummi Kartini Abd Latif di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat hari ini, lapor Sinar Harian Online .
Laporan itu menyebut, kes tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Kamarudin. Bagaimanapun, pada prosiding sebutan kes itu Sharifah Haslinda dan Reezal tidak hadir ke mahkamah.
Dalam laporan itu, Ummi memberitahu mahkamah, anak guamnya menarik balik permohonan cerai itu kerana bercadang meneruskan perbincangan lanjut berhubung soal rumah tangga mereka.
"Plaintif berhasrat menarik balik semula kes dengan kebebasan untuk memfailkannya semula," katanya seperti dilaporkan portal berita itu.
Laporan itu menyebut, Abdul Fatah meluluskan permohonan plaintif mengikut Seksyen 96 Akta Tatacara Mal 2003 dengan kebebasan untuk memfailkan semula namun atas alasan dan fakta berbeza.
Portal itu juga menyebut, Sharifah atau nama asalnya Sharifah Norazleenda Syed Abu Bakar, 43 sebelum ini memfailkan permohonan cerai secara baik mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003 pada 1 Oktober lalu.
Dia berkahwin dengan ahli Parlimen Kepala Batas itu pada 2005 sebagai isteri kedua. Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata.
Sharifah pernah mendapat pencalonan pada 1996 untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik dalam Anugerah Skrin menerusi lakonan drama komedi 'Alahai Manisnya Madu' bersama seniman Mahmud June.
Pelakon itu pernah mengumumkan tidak mahu meneruskan karier dalam bidang lakonan sebelum ini seperti yang pernah dilaporkan media.
Namun, selepas mendapat persetujuan Reezal dan lebih sedekad tidak berlakon, akhirnya Sharifah kembali menemui peminat menerusi drama televisyen 'Dhia Sofea' yang ke udara Oktober lalu.
