Krismas Susan Sarandon buat pelarian Syria
Pelakon veteran Hollywood Susan Sarandon sudah ada rancangan sendiri menyambut Hari Krismas.
Jika selebriti lain bergembira atau berfoya-foya, Susan menghabiskan masa di Pulau Lesbos di Greece.
Tujuannya - Susan berkempen dan memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai isu pelarian Syria di Eropah.
Bintang Dead Man Walking itu terbang ke Greece untuk bertemu sendiri dengan warga Syria yang terpaksa menjadi pelarian apabila negara mereka musnah akibat perang.
Selain itu, Susan, 69, berkata dia juga ada sebab lain untuk ke Lesbos.
"Saya akan ke pulau itu untuk menyambut Krismas sambil mendengar serta memahami cerita pelarian Syria.
"Mereka menyelamatkan diri daripada perang dan hukuman," beliau dipetik sebagai berkata.
Selain itu, Susan menyatakan, keprihatinannya terhadap pelarian juga ada kaitan dengan sejarah dirinya.
"Datuk nenek saya juga pendatang yang datang ke Amerika Syarikat pada abad silam," katanya.
Menurut Susan, komuniti antarabangsa mesti melihat krisis pelarian yang berlaku di Eropah.
"Semua pihak perlu faham isu ini besar dan serius," katanya.

