Entah mana silapnya, sesetengah program hiburan Islamik dilihat kurang mendapat sambutan peminat serta penaja, dan ia dirasai sendiri penganjur konsert Malam Kalimah Cinta yang bakal berlangsung mulai esok hingga 25 Disember ini.
Konsert yang menampilkan Hafiz Hamidun dan penyanyi dari Indonesia, Opick, sehingga semalam menyaksikan hanya 30 peratus tiket terjual.
Ketua Pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani berkata, respon itu amat mendukacitakan walaupun program berkenaan diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul.
“Penjualan tiket tidak serancak seperti konsert Datuk Siti Nurhaliza, persembahan (teater)
Bawang Putih Bawang Merah
atau
Mak Cun,
" katanya ketika ditemui di sidang media dan perasmian pameran Cahaya Jiwa - sebuah kolaborasi antara Amy Search dan pelukis Saiful Kadir untuk membantu sekolah tahfiz Al-Bayyan School of Quran and Hadith di Istana Budaya semalam.
Pameran itu dirasmikan oleh Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.
Kata Mohamed Juhari pelbagai usaha dicuba oleh penganjur Mask Team untuk mengubah keadaan itu namun belum menampakkan sebarang hasil.
“Kami keluarkan sekurang-kurangnya 100 surat untuk mendapatkan penaja, tetapi tiada satu pun yang berjaya," katanya.
Malam Kalimah Cinta diisi dengan persembahan Opick - atau nama sebenarnya Aunur Rofiq Lil Firdaus - pada malam pertama, diikuti oleh Hafiz pada dua malam berikutnya.
Bukan faktor ekonomi
Penonton akan diperdengarkan sebanyak 18 lagu berunsur ketuhanan daripada Hafiz manakala dua lagi oleh artis jemputan Lah Ahmad.
Pemuzik pula akan diterajui oleh Lok U.
Opick bakal mendendangkan sekurang-kurangnya 25 lagu, selain berduet dengan pemenang Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana yang menggantikan Datuk Siti Nurhaliza, dan juga Ronnie.
Persembahan Opick akan diiringi kumpulan muzik profesional yang dibawa khas dari Indonesia.
Menjelaskan keadaan itu, Mohamed Juhari berkata, kekangan ekonomi atau populariti Hafiz bukan punca penjualan tiket tidak memberangsangkan.
"Saya tidak rasa masalah ekonomi menjadi masalah kerana teater Mak Cun mendapat sambutan malah diteruskan untuk beberapa hari lagi.
"Konsert Hafiz terdahulu pula pernah meraih jumlah penonton yang hebat," katanya.
Kelebihan Hafiz (
gambar
) dapat dilihat dalam konsert solo yang pernah diadakan sebelum ini. Untuk konsert Zikir Terapi sebanyak 2,000 penonton menghadirinya di Kuala Lumpur, manakala di Johor Bahru pula 5,000 selain 9,000 lagi di Pulau Pinang 9,000.
Bukan itu saja, nama Hafiz turut disenaraikan sebagai selebriti Islam paling berpengaruh di dunia dalam majalah The Muslim 500 edisi 2016 baru-baru ini.
Opick pula terkenal dengan lagu keagamaan selain pernah mempopularkan Dealova nyanyian Once Mekel.
Apa yang menghairankan, di sebalik kepopularitian Hafiz dan Opick, pihak tertentu dilihat masih enggan tampil menghulurkan tajaan.
Disebabkan hal itu, kata Mohamed Juhari, masyarakat perlu diberi kefahaman lebih meluas mengenai program Islamik.
“Mungkin pihak berkenaan fikir ini hanya nasyid, tidak sama seperti artis antarabangsa atau komersial.
“Sebenarnya, daripada segi pendekatan, mereka juga tidak kurang hebatnya,” katanya.
