Efek Rumah Kaca lancar album terbaru
Selepas tujuh tahun band Efek Rumah Kaca muncul dengan album terbaru - meskipun hanya secara digital.
Sinestesia mula ditawarkan di iTunes pada tengah malam Jumaat lalu.
Ia diterbitkan secara digital oleh Jangan Marah Records - syarikat penerbitan yang diasaskan sendiri oleh kumpulan itu pada 2010 bagi menyediakan sokongan untuk band indie tempatan.
Setakat ini belum dapat dipastikan bila album Sinestesia versi fizikal akan dipasarkan.
Untuk album terkini itu, enam daripada lagunya diberi judul warna, termasuk Merah dan Kuning .
Setaip lagu pula mempunyai dua fragmen. Misalnya lagu Putih terhasil daripada gubahan Tiada dan Ada.
Disebabkan itu, secara bandingan setiap lagu adalah lebih panjang daripada biasa dengan lagu Jingga mencapai tempoh durasi sehingga 13.28 minit.
Efek Rumah Kaca ditubuhkan pada 2001 dan dianggotai tiga pemuzik iaitu Cholil Mahmud sebagai vokalis dan pemain gitar, Adrian Yunan Faisal (bass) dan Akbar Bagus Sudibyo (dram).
Dipengaruhi pelbagai genre termasuk rock dan jazz, Sinestesia dianggap merakamkan perjalanan muzik mereka sejak tahun awal terbabit dalam bidang hiburan.
Album pertama mereka diterbitkan pada 2007 dengan judul Efek Rumah Kaca, diikuti Kamar Gelap setahun kemudian.
Dalam kenyataan kumpulan itu, mereka menganggap Sinestesia sebagai "album sistematik" yang akan membawa pendengar melalui perjalanan imaginasi sendiri.

