Star Wars raih kutipan global lebih RM4.72 bilion
Star Wars: The Force Awakens mencatat kutipan global lebih AS$1 bilion (RM4.29 bilion), lebih pantas berbanding mana-mana filem dalam sejarah.
Menurut laporan Reuters , filem fantasi sains fiksyen siri ketujuh itu juga mencatat kutipan domestik tertinggi pada hujung minggu sempena Krismas, mengumpul hingga AS$153.5 juta (RM658.97 juta).
Jumlah itu mewakili kedua-dua kutipan terbesar sempena Krismas dan kutipan terbaik minggu kedua buat sebuah filem dalam sejarah.
Di Amerika Syarikat sahaja, "The Force Awakens" menjana sebanyak AS$544.6 juta (RM2.34 bilion) manakala di seluruh dunia angkanya mencecah hampir AS$1.1 bilion (RM4.72 bilion).
Tempoh tiga hari cuti hujung minggu turut dianggap sebagai kutipan terbesar hujung minggu Krismas secara keseluruhan dalam sejarah.
Filem itu mengalahkan perolehan AS$269.8 juta (RM1.16 bilion) pada tahun 2009, tayangan "Sherlock Holmes" dan "Avatar."

