Bagaimana sebuah pertubuhan yang bertugas membela golongan karyawan seni gagal mengagihkan kutipan kepada ahli dengan memuaskan dan pada masa sama membuat bayaran tertentu kepada pengarah dan kakitangannya?

Itu antara keluhan dibangkitkan dalam mesyuarat badan berkenaan baru-baru ini.

Dalam kenyataan dibuat Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), pengarah organisasi itu dibayar lebih RM320,000 dan RM330,000 lagi kepada kakitangannya untuk tempoh 2014 hingga 2015.

Presiden KARYAWAN Datuk Freddie Fernandez berkata kebanyakan ahli pertubuhan berkenaan merungut kerana bersa tidak puas hati selepas mereka diberikan bayaran saguhati (token) sama rata.

“Bayaran itu membabitkan RM400 untuk ahli berkumpulan dan RM600 untuk artis solo tanpa penjelasan bagaimana jumlah itu ditentukan.

"Bayaran pengagihan sama rata kepada semua ahli sesuatu yang bertentangan dengan prinsip badan pengutip royalti yang berasaskan penggunaan muzik di tempat awam.

"Dalam sistem tersebut, artis yang muziknya kerap dipersembahkan ditempat awam harus dibayar lebih berbanding artis yang kurang dipersembahkan di tempat awam," katanya.

Rugi berjuta ringgit

Kata Freddie, cara pengagihan itu juga menunjukkan pengurusan badan berkenaan tidak peka dengan proses sewajarnya kerana ada royalti persembahan mampu mencecah jumlah kutipan jutaan ringgit.

Katanya, keadaan berbeza dengan satu lagi organisasi yang diberi kebenaran mengutip royalti apabila mereka mampu mengutip lebih RM6.5 juta untuk tempoh tiga tahun terakhir ini.

Setiap ahli, katanya, diberi penyata akaun dan dibayar mengikut persembahan di tempat awam, bukan sama rata.

Freddie berkata, isu itu dibangkitkan apabila ada ahli pertubuhan berkenaan meminta bantuan daripada KARYAWAN.

Justeru, Freddie menggesa kerajaan segera meneliti masalah itu agar artis dan pemuzik tidak menjadi mangsa kekeliruan pihak tertentu.

“Artis dan pemuzik menjadi mangsa apabila dua lesen diberikan kepada dua badan berasingan tetapi mewakili golongan sama.

“Ramai pihak menggunakan pemuzik tempat awam tetapi tidak membayar royalti.

“Artis kita rugi berjuta ringgit kerana perkara ini,” katanya.

Malaysiakini masih cuba mendapatkan penjelasan daripada badan berkenaan berhubung isu dibangkitkan KARYAWAN itu.