Penyanyi death metal tanding pilihan raya Taiwan
Tidak ada sebarang persamaan dilihat antara muzik death metal dan politik namun di Taiwan, ia nampaknya mula dipertemukan - sekurang-kurangnya melalui vokalis Chthonic, Freddy Lim.
Pada pilihan raya kebangsaan Taiwan yang dijadual diadakan pada 16 Januari ini, Lim bakal bertanding untuk merebut kerusi yang dipertandingkan bagi kawasan Wanhua.
Sebenarnya ia bukanlah terlalu mengejutkan.
Lagu-lagu Chthonic memang kental berbau politik, manakala Lim, 39, dilantik mengetuai pertubuhan Amnesty International cawangan Taiwan pada 2012.
Chthonic dianggap antara kumpulan death metal terbesar di Asia.
Melalui gabungan muzik Chthonic dan aktiviti Lim, rakyat kian tertarik untuk mencuba pendekatan dibawa mereka bagi menangani krisis identiti di negara berkenaan.
Krisis yang dimaksudkan ialah sama ada Taiwan adalah sebahagian daripada China atau ia sebenarnya sama sekali berbeza daripada negara berkenaan.
Pada 1949 parti yang memerintah China ketika itu, Kuomintang (KMT) kalah dalam perang saudara dengan Parti Komunis dan penyokong mereka melarikan diri ke Taiwan.
Tentang KMT secara terbuka
Walaupun bersatu semula di wilayah berkenaan, penyokong KMT tidak pernah kembali ke China.
Perubahan masa menyaksikan Taiwan mengamalkan demokrasi manakala China kekal dengan kaedah sistem politik satu parti.
Melalui kajian Universiti Kebangsaan Chengchi di Taiwan, beberapa dekad terakhir ini menunjukkan penduduk Taiwan semakin kental dengan identiti mereka sendiri dan tidak menganggap China sebagai negara yang mempuhnyai kaitan dengan mereka.
Dalam keadaan begitulah Chthonic dan Lim muncul.
Salah satu lagu mereka ialah Supreme Pain for the Tyrant yang secara terbuka mengambil sikap menentang KMT.
Melalui lagu itu Chthonic bercerita tentang kegagalan cubaan membunuh Chiang Ching-kuo iaitu anak pemimpin KMT, Chiang Kai-shek pada 1970 oleh seorang aktivis prokemerdekaan.
Melalui klip video lagu berkenaan, Chthonic berkali-kali membandingkan KMT dengan Nazi.
Ketika ini juga, rakyat Taiwan melihat KMT sebagai parti yang korup, gagal memahami kehendak semasa dan terlalu berbaik-baik dengan Beijing.
Chthonic dan Lim juga mengisytiharkan Taiwan bukan sebahagian daripada China berdasarkan fakta bahawa wilayah itu wujud sebelum kedatangan penyokong KMT.
Chthonic juga menyampaikan lagu menggunakan bahasa Taiwan berbanding Mandarin kerana ia sudah dituturkan di wilayah berkenaan selama ratusan tahun silam.
Kesan gerakan pelajar
Melalui lagu Takao , Chthonic bercerita tentang penduduk asal Taiwan yang berjuang mempertahankan wilayah mereka daripada tentera Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Lazimnya, Chthonic menyertakan penjelasan sejarah bagi setiap lagu yang dipaparkan di Facebook atau YouTube.
Dengan lagu Defenders of Bú-Tik Palace misalnya, Chthonic menjelaskan mengenai insiden pembunuhan penduduk pribumi Taiwan pada 1930.
Antara lirik lagu mengenai insiden Wushe itu ialah: “...semua pejuang yang mengorbankan diri mereka kerana bangkit menentang diktator dan mendapatkan kemerdekaan".
Pada masa sama, hakikatnya pengaruh KMT di Taiwan masih kukuh namun pemerhati menjangkakan parti itu hampir pasti kalah dalam pemilihan presiden kepada pembangkang, Parti Progesif Demokratik (DPP) kerana kegagalan dasar ekonomi semasa.
Lim sendiri adalah penyokong tegar DPP dan parti itu - untuk pertama kali - dijangka akan menguasai palimen selepas pilihan raya nanti.
Bagaimanapun Lim akan bertanding mewakili Parti Kuasa Baru (NPP) yang baru saja ditubuhkan ekoran gerakan pelajar yang bangkit memimpin protes besar-besaran pada tahun lalu.
Berbanding DPP, NPP adalah pertubuhan yang memperjuangkan kemerdekaan Taiwan daripada Beijing.
Kerusi Wanhua yang ditandingi Lim adalah kubu kuat KMT sejak sekian lama dan culaan dibuat menunjukkan dia berpeluang mencipta sejarah di situ.
Salah satu rahsia Lim ialah penampilannya. Walaupun membawa muzik death metal, Lim muncul dengan imej sederhana dan rapi - walaupun muka dihiasi cat - bersama muzik yang lebih 'lunak'.

