Isu royalti: Prism jawab tuduhan KARYAWAN
Firma Prism Berhad (Prism) bertegas menyatakan bayaran yang diagihkan kepada ahlinya sebelum ini hanyalah wang penghargaan, bukan pungutan royalti daripada persembahan mereka.
Bercakap kepada Malaysiakini , penasihat perundangan Prism Berhad, Nivash Dhespal Singh berkata, kenyataan dibuat Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) pada minggu lalu mengelirukan.
Malah, katanya, Prism hairan mengapa hal itu ditimbulkan kerana ketika laporan perbelanjaan dibentangkan pada mesyuarat agung tahunan ke-31 pada Disember tahun lalu, tiada bantahan diterima daripada ahli.
"Bayaran yang dibuat kepada ahli Prism adalah bagi menghargai kesetiaan mereka yang masih menyokong badan itu hingga kini.
“Ada sektor penyiaran dan agensi korporat belum melunaskan wang royalti kepada kami," katanya.
Malaysiakini pada 5 Januari lalu menyiarkan laporan mengenai rungutan KARYAWAN yang mempersoalkan Prism sebagai pertubuhan pembela golongan seniman gagal mengagihkan kutipan royalti kepada ahli dengan memuaskan.
KARYAWAN juga mempertikaikan mengapa Prism membuat bayaran tertentu kepada pengarah dan kakitangannya.
Dalam kenyataan dibuat KARYAWAN, pengarah Prism didakwa dibayar lebih RM320,000 dan kakitangannya menerima RM330,000 untuk tempoh 2014 hingga 2015.
Ganggu tugas, jejas reputasi
Kata Nivash, wang penghargaan itu bernilai RM400 yang diberikan kepada ahli berkumpulan, manakala artis solo mendapat RM600.
Mengenai royalti, Nivash berkata, Prism masih menunggu kutipan berjumlah kira-kira RM80 juta.
Mengenai bayaran diberi kepada pengarah dan kakitangan Prism, Nivash berkata ia sebagai ganjaran kepada mereka menjalankan tugas, termasuk turun padang membuat kutipan.
Katanya, jumlah yang didakwa dibayar kepada pengarah dan kakitangan Prism - seperti didakwa KARYAWAN - juga tidak tepat.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, pecahan jumlah gaji dan am pekerja yang diberikan adalah lebih rendah daripada yang sepatutnya.
“Gaji sebenar dibayar kepada pengarah adalah RM244,481 dan kakitangan RM 252,631,” katanya.
Justeru, Nivash berharap tiada lagi kekeliruan timbul pada masa depan.
Jika masih ada, katanya, ahli boleh membuat aduan melalui saluran betul.
“Kami kesal berlaku salah faham begini.
"Ia bukan saja menjejaskan reputasi Prism malah mengganggu proses kutipan.
"Sekiranya ada isu berbangkit, ahli diminta datang ke pejabat atau menulis surat kepada kami,” katanya.

