Bukan peminat muzik saja terasa kehilangan David Bowie.

Pengurus Arsenal yang digelar The Professor, Arsene Wenger, adalah salah seorang tokoh yang meluangkan masa menyatakan rasa sedih atas kematian penyanyi berkenaan.

"Saya mesti nyatakan, mesej yang diberi Bowie kepada generasi saya sangat penting kerana ketika itu era selepas Perang Dunia Kedua. Mesejnya sangat asas - bertabah dan menjadi diri sendiri.

"Ia mesej yang sangat kuat dan sangat penting," katanya.

Bowie, 69, meninggal dunia di Manhattan, New York semalam selepas bertarung dengan kanser selama satu setengah tahun.

Kematiannya berlaku kira-kira dua hari selepas tarikh hari lahirnya iaitu 8 Januari.

Bowie adalah penyanyi dan artis yang dikagumi kerana cepat menyesuaikan diri dengan teknologi dan mengagumi sains.

Portal Sky Sport News melaporkan, walaupun sukan dan hiburan adalah dua dunia berbeza, Wenger selalu juga menghubungkan kedua-dua bidang itu dengan cara tersendiri.

Walaupun kadang-kadang ia agak kabur, pada masa lain kenyataan Wenger dilihat bernas dan memberi kesan.

Pada November lalu - ekoran serangan pengganas di Paris - Wenger mempunyai pandangan sendiri mengenainya.

Bercakap kepada wartawan Sky Sport News, Wenger menjangkakan serangan itu bukanlah yang terakhir.

"Kita tak boleh menghalang segala-galanya. Ia lebih kepada cara hidup yang disasarkan secara umum, berbanding komuniti tertentu," katanya.

Bowie memang ada tempat khas dalam dunia sukan.

Lagunya, Heroes, pernah berkumandang di Stadium Olimpik di ketika kontinjen Britain berarak di majlis pembukaan Sukan Olimpik 2012.

Madonna menggambarkan Bowie sebagai seorang seniman yang "unik, genius dan pembawa perubahan", manakala Kanye West melihat penyanyi Let's Dance itu sebagai "tidak kenal takut dan sangat kreatif.

Pharrell Williams pula melihat Bowie sebagai "pencetus idea baru sejati".

Sementara itu kerajaan Jerman pula mengucapkan penghargaan mereka kepada Bowie atas peranan artis itu membantu meruntuhkan Tembok Berlin yang pernah memisahkan negara itu menjadi dua wilayah bertentangan.

FM #Steinmeier on the death of David #Bowie : The world has lost a uniquely talented artist. https://t.co/t8323phGJw pic.twitter.com/Jw9ysVdbE5

— GermanForeignOffice (@GermanyDiplo) January 11, 2016

Melalui mesej di Twitter, Pejabat Luar Jerman menulis: "Selamat jalan David Bowie. Anda kini salah seorang daripada wira-wira. Terima kasih kerana membantu merobohkan tembok itu."

Akaun berkenaan juga menyertakan pautan kepada satu klip video menunjukkan Bowie menyampaikan lagunya, Heroes, secara langsung.

Bowie diminati ramai pemuzik di Jerman pada pertengahan 1970-an.

Pada akhir 1976 Bowie berpindah dari Switzerland ke Berlin Barat dan sering dilihat berbasikal antara apartmennya di Schoneberg ke studio rakaman Hansa Tonstudio Kreuzberg.

Premis itu terletak berhampiran Tembok Berlin.