Sharmeen melawan dengan filem
Menurut laporan media sekurang-kurangnya 1,000 wanita atau gadis dibunuh - biasanya direjam - setiap tahun di Pakistan kerana dianggap mengaibkan keluarga masing-masing.
Walaupun angka itu dianggap tinggi, pertubuhan hak asasi manusia Pakistan, Yayasan Aurat berpendapat, jumlah kematian sebenar akibat pembunuhan kononnya demi maruah itu lebih tinggi daripada itu.
Alasannya, ada insiden pembunuhan sebegitu tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Undang-undang Pakistan memang menganggap hukuman sebegitu tetap tindakan jenayah namun kebiasaannya, pihak yang melakukannya akan diampuni.
Ia berlaku kerana wujud kelemahan perundangan yang dimanipulasi pihak terbabit - merujuk kepada kelonggaran diberi pihak berkuasa supaya waris mangsa memaafkan pelakunya jika diberi pampasan atau ganti rugi.
Dalam suasana begitulah Sharmeen Obaid-Chinoy menghasilkan dokumentari A Girl in the River: The Price of Forgiveness .
Kini dicalonkan untuk anugerah Oscar bagi kategori dokumentari terbaik, ia asalnya dibuat untuk menyedarkan orang ramai mengenai amalan pembunuhan tebus maruah yang memangsakan wanita atau gadis.
Melalui dokumentari dihasilkan pada 2015 itu, Sharmeen merakamkan kehidupan sebenar Saba, 18, yang pernah diganasi bapa dan abangnya kerana kahwin lari.
Desak umum terbuka
Kata Sharmeen, cerita terkandung dalam dokumentari berkenaan memaparkan bahawa amalan tidak bertamadun itu masih berlanjutan di negaranya.
"Dan undang-undang sedia ada tidak memadai untuk menghalang seseorang membunuh anak perempuan masing-masing atas nama maruah," katanya.
Ekoran pencalonan untuk anugerah berprestij itu Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif menegaskan ikrar kerajaan untuk menghalang amalan itu daripada berterusan.
Dia juga berjanji membawa pihak yang terbabit ke mahkamah untuk dibicarakan.
Janji Nawaz itu memang menggembirakan Sharmeen namun dia sedar, banyak lagi yang perlu dilakukan sebelum amalan membunuh atas nama maruah itu dapat dihentikan.
"Kini perdana menteri sudah berjanji. Saya rasa, semua wanita Pakistan mesti memastikan beliau bertanggungjawab menunaikan janjinya," kata Sharmeen.
Sharmeen, 37, juga mendesak Nawaz membuat pengumuman terbuka menyatakan amalan itu tidak terkandung dalam budaya penduduk setempat serta dilarang agama.
"Sebagai bapa dan datuk, Nawaz perlu menunjukkan keazamannya melindungi wanita Pakistan. Bermakna dia sebenarnya turut melindungi ahli keluarganya sendiri," katanya.
Amalan zalim itu sekali lagi mendapat perharian ramai ekoran kematian Farzana Iqbal, 25, pada Mei 2014.
Dalam kejadian malang itu, Farzana direjam hingga mati oleh ahli keluarganya sendiri. 'Dosa' Farzana adalah bernikah dengan lelaki yang tidak mendapat restu keluarganya.
Selain Afghanistan, amalan itu juga dilaporkan berlaku di Afghanistan, Turki, malah di AS.
Pertubuhan Rangkaian Kesedaran Keganasan Demi Maruah meyatakan kira-kira 5,000 wanita dibunuh di seluruh dunia setiap tahun.

