Hujan Bulan Juni ke layar lebar
Selepas menikmati bait-bait indah Hujan Bulan Juni , penggemar Sapardi Djoko Damono bakal berpeluang melihat sajak itu diterjemah ke layar perak tidak lama lagi.
Ditemui media di Taman Ismail Marzuki semalam, Sapardi berkata, jika tiada aral melintang sajaknya itu akan mula diadaptasi ke filem pada Jun nanti.
Sebelum itu Sapardi, 75, menjadi tetamu di majlis konsert pelancaran album terbaru kumpulan AriReda, Menyanyikan Puisi.
Pasangan dua penyanyi AriReda ditubuhkan pada awal 1980-an dan kerap menyanyikan lagu yang diilhami daripada puisi.
Kira-kira 90 peratus daripada lagu mereka menggunakan sajak Sapardi.
Di majlis malam semalam, Sapardi diminta membacakan sajak terkenalnya itu namun beliau enggan.
Alasannya - Hujan Bulan Juni akan dilagukan.
"Saya tak mahu membacanya kerana nanti kedengaran jelek," katanya bergurau.
Sajak Sapardi memang digemari ramai peminat sastera dan sudah diterjemah ke pelbagai bahasa.
Selain menulis sajak Sapardi turut menghasilkan cerpen, esei, menterjemah karya asing serta menjadi kolumnis (termasuk dalam bidang sukan).
Selain sajak Hujan Bulan Juni , satu lagi karya Sapardi paling dikenali ialah Aku Ingin yang berkali-kali dipetik ramai untuk pelbagai tujuan, termasuk kata-kata indah pada kad jemputan kahwin.
Sempena majlis pelancaran album AriReda itu Sapardi membacakan dua sajaknya Dongeng Marsinah dan Tentang Mahasiswa Yang Mati.
Hujan Bulan Juni adalah sajak Sapardi yang diterbitkan kali pertama pada 1994.
Ia pernah diadaptasi dalam bentuk komik sebelum menjadi novel oleh adaptasi Sapardi sendiri pada 2015.

