'Menziarahi' Yasmin Ahmad sambil berpeluang memenangi tiket penerbangan ke Bali - itu yang ditawarkan di Ipoh, Perak sehingga 28 Februari nanti.

Melalui pameran khas di Muzim Yasmin Ahmad, pengunjung boleh melihat sendiri kecintaan pengarah berbakat besar itu kepada keindahan Indonesia yang menjadi destinasi lawatan wajibnya setiap tahun.

Lawatan itu dibuat sebagai mengisi keperluan Yasmin mencari inspirasi.

Antara bahan pameran di muzium itu ialah siri gambar Yasmin di Bali serta sajak ciptaannya berjudul The Drums of Bali (Gendang-gendang Bali).

Dalam kenyataan dikeluarkan AirAsia hari ini, syarikat penerbangan tambang murah itu berkata, pameran berkenaan dibuat selaras dengan semangat Malaysia Boleh yang turut dipraktikkan Yasmin.

"Pelawat juga boleh mempelajari lebih banyak maklumat mengenai hubungan Yasmin dan AirAsia.

"Adakah anda tahu Yasmin begitu menggemari AirAsia sehinggakan beliau membuat tiga penggambaran filem pendek bersama penerbangan tambang murah ini?" kata kenyataan itu.

Yasmin anak kelahiran Muar, Johor dikenali sebagai pengarah filem, penulis dan penulis lirik.

Sentuhan beliau dalam iklan dan filem memang mengesankan kerana sarat dengan unsur kasih sayang, kejujuran serta humor yang melangkaui sempadan bangsa dan budaya.

Di sebalik kecerdasannya menghasilkan karya sesekali sentuhannya turut mengundang kontroversi terutama di mata golongan konservatif Islam.

Antara filem Yasmin ialah Sepet (2004), Gubra (2006) dan Muallaf (2008). Beliau meninggal dunia pada 25 Julai 2009 ketika berusia 51 tahun.

Sempena pameran di muzium yang terletak di Jalan Sultan Yussuf itu, pihak pengurusan juga memperkenalkan kempen Ipoh Mali Sampai Bali.

Sepanjang tempoh itu pengunjung Muzium Yasmin Ahmad berpeluang memiliki sepasang tiket AirAsia ke Bali yang diberikan secara percuma kepada individu bertuah.

Ada tiga pasang tiket ditawarkan untuk dimenangi melalui peraduan ditetapkan.

Caranya mudah - muat naik gambar atau video selfie ke Instagram bersama mana-mana bahan pameran Yasmin di Bali berserta hashtag #ipohmalisampaibali. Kemudian jawab soalan yang diberikan pada keterangan gambar di Instagram masing-masing.