Java Jazz tak tergugat ancaman pengganas
Penganjur Festival Java Jazz 2016 berjanji acara itu akan bebas daripada ancaman keganasan kira-kira dua minggu selepas Jakarta digegarkan serangan bom pada 14 Januari lalu.
Kenyataan itu dibuat presiden syarikat yang menganjurkan festival berkenaan, Dewi Gontha kelmarin.
“Situasi yang pernah dialami Jakarta berlaku juga pernah berlaku di negara lain.
“Seharusnya, perkara terbabit tidak menjejaskan acara yang sifatnya positif,” katanya.
Justeru, festival yang mendapat galakan dan sokongan kerajaan itu akan dilengkapi dengan kawalan keselamatan daripada polis dan tentera.
Kata Dewi, jaminan itu diharap dalam melancarkan aktiviti yang bakal dihadiri oleh penonton dari pelbagai negara.
“Usah khuatir kerana kami melaksanakan standard keselamatan yang terbaik sejak dari awal bermulanya kerja penyelenggaraan Java Jazz,” ujarnya.
Artis tempatan, antarabangsa bersama-sama
Serangan bom dan senjata api yang berlaku baru-baru ini di Jalan MH Thamrin menyebabkan tujuh orang termasuk lima penyerang terbunuh sementara 30 orang yang lain cedera parah.
Lima daripada mangsa yang cedera adalah anggota polis.
Sehari kemudian seorang daripada mangsa yang cedera itu dilapor meninggal dunia.
Sementara itu, Ketua Badan Ekonomi Kreatif Triawan Munaf pula memberi amaran kepada pengganas agar menjauhkan diri daripada acara berkenaan.
“Jangan sampai acara sebegini terjejas disebabkan aktiviti pengganas," katanya.
Sehubungan itu, Triawan dan penyelenggara Java Jazz merancang dalam masa terdekat untuk membincangkan peranan yang dapat diberikan kepada Badan Ekonomi Kreatif Java Jazz.
Katanya, kedua-dua pihak akan menyediakan sokongan dari segi moral mahupun material.
Festival yang mengangkat tema Exploring Indonesia itu bakal berlangsung di JIExpo Kemayoran.
Dua nama yang cukup besar dalam industri muzik seperti David Foster dan Roben Thicke turut bakal turun padang membuat persembahan istimewa.
Pengarah Muzik Produksi Java Festival Paul Dankmeyer berkata, tidak cukup dengan itu, seramai 70 lagi barisan artis dari pelbagai negara seperti Kanada, AS, Ireland , Jamaica dan Nigeria akan turut serta.
Dan nama mereka adalah Chris Botti, Tokyo Ska Paradise Orchestra, Bad Bad Not Good, Boney James, Hiatus Kaiyote, Candy Dulfer, Jazz Orchestra of Teh Concert Gebouw dan ramai lagi.
Bagi peminat artis tempatan pula, Afgan dan Maliq & D’essentials, sekali lagi akan memeriahkan Java Jazz.
Selain itu, pendatang baru dalam dunia hiburan seperti Barasura dan Kuntoaji juga akan membuat persembahan julung kali di lokasi berkenaan.

