Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penyanyi rap Juzzthin seakan 'ternampak hantu' pada pukul tiga pagi sebaik dikhabarkan akan berkolaborasi dengan pelakon terkemuka tanah air Maya Karin.

Sebenarnya, dalam erti kata lain, itu gambaran reaksi Juzzthin yang tidak menyangka berpeluang untuk berduet dengan Maya menerusi single Serik Dengan Cinta.

Menurut Juzzthin atau nama sebenarnya Mohamed Nazreen Norzali, 26, kehadiran Maya saat merakam lagu menambah kegembiraan kerana percaya dengan kehebatan aktres yang juga penyanyi itu.

“Mula-mula memang tidak percaya, macam mimpi.

“Tetapi sebaik saja Maya menghadiri sesi rakaman, saya tahu kehadirannya itu membawa satu permulaan baru untuk karier saya,” katanya ketika ditemui di sidang media pelancaran album sulungnya Class is in Session di Plaza TSR di Kuala Lumpur kelmarin.

Bagi Juzzthin, bergandingan dengan pelakon filem Pontianak Harum Sundal Malam dalam lagu itu bukanlah kerana dia mahu menumpang populariti yang ada pada aktres berkenaan.

Sebaliknya Juzzthin percaya, Maya yang turut berlakon dalam video muzik lagu Serik Dengan Cinta itu mampu memberi impak tersendiri.

“Memang kami mencari vokal wanita yang bukan dari genre sama dengan saya untuk beri kelainan.

“Kerana mencari kelainan itulah, Warner Music dan Mixology mencadangkan nama Maya,” kata anak kelahiran Negeri Sembilan itu.

Juzzthin memulakan karier rap seawal usianya 17 tahun.

Bermula dari situ, dia menyertai kumpulan hip hop Tricky Tongue yang pernah dinobatkan sebagai juara rancangan realiti Blast Off musim ketiga pada 2007.

Nama Juzzthin meningkat popular selepas berkolaborasi dengan Waris dalam lagu Botingkek.

Bonda paling mencabar

Juzzthin juga terbabit dalam bidang lakonan, antaranya, drama bersiri Oh My English yang disiarkan Astro.

Mengenai album sulungnya itu, Juzzthin berkata, dia berasa lega kerana akhirnya ia berjaya disiapkan selepas dua tahun dalam pembikinan.

Katanya, kelewatan itu disebabkan dia terikat dengan beberapa penggambaran drama bersiri.

Class is in Session menampilkan 12 buah lagu termasuk Serik Dengan Cinta.

Menurut Juzzthin, daripada 12 lagu berkenaan, Bonda adalah yang paling mencabar buatnya.

Katanya lagi, lagu istimewa itu didedikasikan khas buat ibunya, Noraini Jamal.

“Untuk menghasilkan lagu sedemikian, kita perlu bermain dengan emosi, apatah lagi hip hop adalah irama barat.

“Bukan senang nak buat kerana perlu letak nilai sentimental bersama lagu berkenaan.

“Ibu adalah tokoh penting dalam hidup saya kerana dia sentiasa memberi sokongan untuk kerjaya, malah dia sering berpesan agar saya tidak mudah lupa diri,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS