Adele, Steven Tyler tempelak calon Presiden AS
Penyanyi Adele meminta calon presiden AS Donald Trump berhenti menggunakan lagunya sebagai bahan kempen ketika saingan merebut kedudukan di Rumah Putih kian sengit sekarang.
Biasanya sebelum membuat kemunculan bagi setiap acara kempennya, Trump akan memainkan rangkap “we could have it all” dari lagu hits Adele, Rolling in the Deep , berulang kali.
Cubaan Trump yang juga jutawan dan selebriti itu berbuat demikian adalah sebagai merangsang semangat penyokong dan hadirin kempennya.
Kontroversi itu timbul selepas kebanyakan peminat Adele berang terhadap tindakan Trump yang menggunakan lagu penyanyi berkenaan untuk tujuan politik.
Menurut jurucakap Adele, selepas berdiam diri untuk beberapa ketika, penyanyi itu kini bersuara untuk menyatakan bantahannya terhadap Trump.
“Adele tidak pernah memberikan kebenaran muziknya untuk dijadikan sebagai bahan kempen politik,” katanya.
Adele enggan terbabit dalam sebarang polemik politik sejak 2011 apabila penyanyi dari England itu membuat kenyataan bahawa dia adalah "gadis Parti Buruh."
Dream On juga diguna tanpa izin
Parti Buruh adalah satu daripada parti utama di United Kingdom.
Untuk makluman, sememangnya Trump adalah peminat Adele.
Tahun lepas, Trump diberitakan menghadiri konsert selebriti itu di New York.
Bukan saja Rolling in the Deep, Trump turut memainkan lagu dari artis sama iaitu Skyfall selepas menyampaikan ucapan mengenai masa depan AS.
Selain Adele, vokalis Aerosmith Steven Tyler turut memberi amaran kepada Trump.
Trump diminta berhenti dari menggunakan lagu Dream On untuk mana-mana kempen politiknya.
Sehubungan itu, peguam Tyler menghantar surat perintah kedua yang mengarahkan jentera kempen Trump menghentikan penggunaan lagu berkenaan serta-merta.
“Trump tidak mempunyai kebenaran pelanggan kami untuk menggunakan Dream On atau mana-mana lagunya.
“Ia memberi gambaran palsu bahawa Tyler dikaitkan dengan atau menyokong Trump dalam kempen pilihan rayanya,” katanya.

