Pussy Riot cuit Kremlin, persenda peguam negara
Untuk kesekian kalinya kumpulan punk Russia, Pussy Riot, melakukan provokasi terhadap Moscow melalui persembahan mereka.
Kumpulan dianggotai pemuzik yang selalunya menyembunyikan wajah mereka itu menerbitkan klip video mempersenda beberapa agensi penguatkuasaan Russia.
Melalui Chaika, Nadezhda Tolokonnikova dan rakan-rakannya membuat persembahan dengan mengenakan pakaian seragam biru yang sering dipakai pihak pendakwa Russia.
Bercakap kepada stesen televisyen bebas Dozhd TV , Nadezhda berkata lagu dan klip video Chaika diilhami daripada sebuah dokumentari yang mendedahkan salah laku Peguam Negara Russia, Yuri Chaika.
Dokumentari itu disiapkan oleh kumpulan antirasuah tempatan, diketuai Alexei Navalny.
Menurut kumpulan berkenaan beberapa orang anak lelaki Chaika memperoleh manfaat daripada kedudukannya sebagai pegawai pendakwa negara.
Mereka juga didakwa mempunyai hubungan dengan kumpulan penjenayah.
Chaika menafikan kedua-dua tuduhan berkenaan.
Salah laku bukan rekaan
Pussy Riot adalah kumpulan muzik yang lantang mengkritik Kremlin, terutama membabitkan isu salah laku, penyelewengan dan hak asasi manusia.
Pada 2012 dua daripada anggota kumpulan itu ditahan kerana mengadakan protes di satu daripada gereja terbesar di Moscow.
Selepas dibicarakan Tolokonnikova dan Maria Alekhina disabitkan kesalahan melakukan aktiviti ekstrem.
Mereka dihukum penjara dua tahun dan dibebaskan beberapa bulan sebelum ia dilengkapkan pada Disember 2013.
Tolokonnikova berkata, apabila dakwaan mengenai pegawai pendakwa Russia itu didapati bukan sekadar rekaan, ia menyebabkan kebimbangan.
"Kami rasa perlu ada tindakan diambil," katanya.
Pada masa sama Tolokonnikova berharap klip video berkenaan boleh memberi galakan kepada orang ramai untuk mengambil tahu mengenai skandal Chaika.
"Kami harap lebih ramai orang menonton dokumentari berkenaan," katanya.
Dalam klip video itu antara babak yang menarik ialah anggota Pussy Riot membelasah banduan.
Ia diiringi lagu dengan lirik "Kami akan dapatkan kerja yang baik di penjara untuk sesiapa yang menjadi terlalu bijak."

