Bekas bintang Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Nurullah Zawawi dan suaminya akan hanya menerima ganti rugi RM80,000 dalam kes saman fitnah terhadap TV3 dan empat yang lain.
Ini berikutan pasangan itu gagal mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM250,000 kepada RM80,000.
Pasangan itu pada 5 September 2011 memfailkan saman fitnah terhadap semua defendan tersebut berhubung status perkahwinan mereka yang disiarkan dalam program hiburan Melodi pada 26 Jun 2011.
Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan pasangan itu tidak boleh mendapat kebenaran merayu kerana gagal memenuhi Seksyen 96(a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Beliau yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ahmad Maarop dan hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Balia Yusof Wahi, menolak permohonan mereka dan memerintahkan pasangan tersebut membayar kos guaman RM10,000 bagi prosiding mahkamah di Mahkamah Persekutuan.
Nurullah dan suaminya, Mohd Munzil Muhamad mengemukakan saman fitnah itu terhadap TV3, penerbit rancangan Melodi, Azman Abd Gahafar, wartawannya Michelle Wee Lili, Alt Media Sdn Bhd dan abang kandung Nurullah iaitu Bustamam Zawawi, selaku responden.
Mahkamah Rayuan pada 10 Julai 2014 menolak rayuan pihak responden terhadap liabiliti tetapi membenarkan rayuan mereka berhubung kuantum, dengan menyaksikan jumlah itu dikurangkan kepada RM80,000.
Pihak responden tidak meneruskan perkara itu di Mahkamah Persekutuan berkaitan dengan keputusan mengenai liabiliti oleh Mahkamah Rayuan.
Pasangan itu diwakli peguam Nadzarin Wok Nordin manakala responden oleh peguam T H Liew.
- Bernama
