Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

"Kita nak pergi ke zaman semasa ayah belasan tahun,” kata saya kepada Naim dan Mira. Naim nampak teruja tetapi Mira mencebik.

“Nak tidur je nanti,” kata Mira.

Layar cerita dibuka dengan rakaman video perlawanan bola sepak di televisyen cembung dengan visual yang bersemut-semut. Memorabilia pun menjentik hati.

Plup!

Pita video yang sedang ditonton itu rosak dan kita dibawa ke syarikat penyiaran tempat Marianne bekerja. Dia sedang cuba menyiapkan dokumentari tentang pasukan bola sepak Malaysia yang berjaya mara ke Olimpik Moscow.

Dia berasa kecewa dan hampir berputus asa kerana maklumat yang diperolehnya amat terhad.

Itu membawanya ke Sabah untuk bertemu dengan Eric, seorang pemain skuad Olimpik Malaysia. Eric memulakan pengisahannya.

Imej menara jam muncul di layar. Saya amat kenal imej itu. Saya sempat berbisik kepada Naim: "Sekolah ayah.”

Padang Victoria Institution menjadi lokasi pengambaran pasukan bola sepak Malaysia berlatih untuk menghadapi Sukan Olimpik Moscow. Pengembaraan ke masa lampau pun bermula.

Berada di panggung menonton Ola Bola , kita bagai dibawa mesin masa ke suatu 'zaman emas'.

Itu zaman sewaktu Kuala Lumpur tidak dibanjiri pendatang asing tanpa izin. Zaman tokoh bernama Dr Mahathir belum mencorakkan politik negara secara langsung sebagai perdana menteri.

Zaman sebelum anak muda asyik dengan gajet dan media sosial.

Antara fun fair, tin biskut

Televisyen, radio dan surat khabar amat berpengaruh pada zaman tersebut. Pengaruh itu dapat dilihat dalam Ola Bola . Ironinya, ulasan selari perlawanan bola sepak melalui radio disampaikan dalam tiga bahasa kaum utama di Malaysia, iaitu Melayu, Cina dan India.

Ola Bola seakan-akan ingin memberitahu kita, perbezaan warna kulit bukan masalah dalam kehidupan di negara ini. Dan ia bukanlah impian kosong, kita pernah melaluinya.

Paling mengesankan, penonton Ola Bola dibawa menyaksikan suasana fun fair di Pusat Hiboran Hua Hee yang begitu realistik.

Penonton disajikan dengan permainan lazim seperti tuju tin, kuda terbang, mery go round dan sebagainya. Tidak cukup dengan itu ada pula penari joget di pentas.

Gambaran di fun fair ini bagi saya amat dekat dengan era 1970-an dan 1980-an. Prop seperti tabung ayam, tin Milo dan tin biskut Jacob amat dikenali oleh generasi zaman ini.

Sayangnya, kita tidak boleh melihat botol minuman Green Spot, RC Cola, Sinalco dan minuman botol yang sezaman dengannya.

Ola Bola bukanlah sekadar kisah pahit getir pasukan Malaysia berjuang dan melalui pelbagai cabaran untuk melayakkan negara ke Sukan Olimpik Moscow. Ola Bola lebih daripada itu jika kita mahu melihatnya dari sisi sosialisme dan patriotisme.

Bagi saya, selepas Mekanik (1983) arahan Othman Hafsham, Ola Bola ialah filem terbaik yang memaparkan citra rakyat Malaysia. Malahan Ola Bola lebih cemerlang kerana watak pelbagai kaum terangkum dalam satu pasukan bola sepak.

Kesat air mata

Gelagat penonton di stadium dan kritik sosial penonton di luar stadium yang terdiri daripada pelbagai kaum juga terangkum dalam Ola Bola .

Chiu Keng Guan sebagai pengarah mengambil tindakan betul apabila tidak memfilemkan Ola Bola sebagai kisah benar sebaliknya mengambil detik kejayaan pasukan Malaysia ke Olimpik Moscow sebagai inspirasi.

Pilihan itu membolehkan Chiu berkarya dengan lebih bebas dan kreatif. Barang kali ada kisah benar dalam Ola Bola tetapi itu sudah tidak perlu dipandang terlalu serius oleh penonton.

Sesebuah filem harus ada emosi. Emosi yang akan menghidupkan jiwa untuk kita terus 'melekat' menonton sesebuah filem.

Emosi itu ada dalam Ola Bola dan disampaikan dengan secukupnya sebagai masakan yang cukup rasa masam, masin dan manis, tidak berlebih-lebihan.

Adegan Eric menepuk bahu Ali yang mendapat jersi nombor 10 amat sederhana sekali tetapi membawa impak yang besar.

Betapa pada saat itu mereka tidak lagi bermusuh dan berdendam untuk mendapatkan jersi nombor 10 bagi menggantikan tempat Super 10 Syamsul.

Begitupun, adegan paling emotif ialah di bilik persalinan setelah tamat separuh masa pertama sewaktu Malaysia ketinggalan 2-1 di tangan Korea Selatan.

Ali mengetahui Malaysia akan memboikot Sukan Olimpik Moskow. Abaikan kesahihan fakta sejarah tentang hal ini. Adegan di bilik persalinan amat berjaya dan menjadi nadi yang menguatkan filem ini.

Saya lihat penonton berbangsa Cina di sebelah saya mengesat air mata sewaktu Ali menuturkan dialog: "Kita menang sama-sama. Kita kalah sama-sama.”

Jangan balik dulu

Dialog-dialog lain juga kuat dan boleh menjadi dialog yang akan dikenang sepanjang zaman. Antaranya dialog Tauke: “ We eat nasi lemak sama-sama.”

Begitu juga apabila Tiam Cai berkata: “Walaupun saya hanya skru yang kecil, saya mahu jadi skru yang bermakna”

Emosi yang baik disokong oleh lakonan aktor yang baik - meskipun kebanyakannya masih amatur. Mereka berjaya membawa perwatakan dengan berkesan.

Emosi yang dibawa oleh pelakon disokong dengan kejayaan senimatografi yang gemilang dan skor muzik yang dikraf dengan sempurna.

Naim memang teruja dengan Ola Bola . Mira pula tak jadi tidur. Ola Bola sampai ke penghujung dan saya teringat akan pesanan Hafizah Sahari di Twitter agar tidak terus bangun dan menunggu sehingga logo perisai Ola Bola muncul.

Ya, memang ada sesuatu yang kelakar di penghujungnya.

Bagaimanapun, saya keluar dari 'mesin masa' Ola Bola dengan berasa kehilangan. Pertama, kehilangan pasukan bola sepak yang dibanggakan, dan kedua, kehilangan hidup tanpa prejudis di negara yang berbilang kaum ini.

Bagai terdengar dialog Muthu: “Kita sudah tak boleh kasi malu negara kita lagi.”


RIMANILZAH lelaki dari 'kota basah' di utara semenanjung. Peminat filem, buku, sajak dan barang vintaj, dulu dia lelaki urban sebelum kini berubah menjadi lelaki uban.

Lihat Komen
ADS