DiCaprio terbaik di Bafta, hargai jasa ibu di pentas
Tinggi mana sekalipun kedudukan seseorang, jarang seseorang itu melupakan jasa dan pengorbanan seorang ibu.
Itu yang dilakukan oleh pelakon Leonardo DiCaprio, 41, semasa berucap di atas pentas selepas dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Anugerah Akademi Filem British (Bafta) ke-10 hari ini.
Dan kebetulan yang menarik majlis itu berlangsung bersamaan dengan hari ulang tahun ke-73 ibunya, Irmelin Indenbirken.
Media melaporkan, sebaik namanya diumumkan sebagai pemenang, DiCaprio yang mendapat pencalonan menerusi watak Hugh Glass dalam filem The Revenant itu ternyata begitu gembira.
“Saya perlu mengucapkan penghargaan kepada individu ini, kerana tanpanya, tidak mungkin saya berdiri di sini.
“Saya tidak membesar dengan kehidupan yang istimewa, sebaliknya di kediaman yang begitu sukar di timur Los Angeles.
“Dan wanita ini sanggup membawa saya menaiki kenderaan selama tiga jam dan memandu ke tiga sekolah yang berlainan, semata-mata untuk menunjukkan peluang yang berbeza.
“Hari ini adalah hari ulang tahunnya, selamat hari jadi ibu. Saya amat menyayangi kamu,” katanya.
Acara berprestij itu diadakan di Royal Opera House, London.
The Revenant mengisahkan sekumpulan pemburu yang mengikuti ekspedisi perdagangan bulu haiwan pada 1820-an.
Kenang aktor lain
Dalam eskpedisi itu, Glass ditimpa pelbagai dugaan dan harus berikhtiar untuk terus hidup selepas diserang beruang dan ditinggalkan oleh kumpulannya untuk mati.
Sebelum itu, DiCaprio mendahului ucapannya dengan menyatakan penghargaannya buat beberapa pelakon British yang menjadi sumber inspirasi kepadanya sebagai seorang aktor sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya masih ingat ketika pertama kali menonton Tom Courtenay dalam Loneliest of the Long Distance Runner hingga ke filem seperti Gary Oldman dalam State of Grace yang mempengaruhi seluruh generasi aktor semasa berumur 15 tahun dengan bapa.
“Dan tidak lupa kepada mendiang Peter O’Toole dan Daniel Day Lewis.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada aktor British ini, Tom Hardy. Saya mahu mengucapkan penghargaan atas kesetiaan kamu, bukan saja dari segi kerjasama tetapi sebagai rakan seperjuangan dalam proses ini, saya tidak mampu meneruskan perjalanan ini tanpa kamu.
“Dan Alejandro, terima kasih kerana menjadi seorang rakan yang hebat di sepanjang proses ini,” katanya.
Selain itu, DiCaprio juga tidak melupakan penghargaannya kepada jurumekap yang bertungkus-lumus menyoleknya untuk kelihatan seperti mayat hidup.
Untuk makluman, DiCaprio tidak pernah memenangi sebarang anugerah Bafta dan Oscar.
Sudah tentu, umum masih tertanya-tanya, adakah kemenangan DiCaprio akan menamatkan kempunannya untuk Anugerah Oscar yang dijadual berlangsung pada 28 Februari ini.
“Saya tidak tahu, ia di luar kawalan saya. Tetapi menariknya, itu bukan alasannya untuk kamu tidak berusaha, kan?
“Kamu lakukan kerja itu kerana gemar dengan hasilnya dan berasa bangga apabila mengimbau kenangan seperti itu.
“Apabila berada di lokasi penggambaran, kamu melakukan yang sebaik mungkin, tetapi diiktiraf oleh rakan sekerja adalah satu kelebihan,” katanya dalam satu wawancara dengan This Morning oleh Phillip Schofield dan Holly Willoughby.
Congratulations to all of tonight's winners! See them in full: https://t.co/Dh90MJxBeX #EEBAFTAs pic.twitter.com/G6wEeDBRta
— BAFTA (@BAFTA) February 14, 2016

