Aktivis filem indie mencabar konservatif Saudi
Setakat ini tidak ada apa-apa yang membanggakan boleh dikaitkan Arab Saudi dengan industri perfileman kecuali beberapa dokumentari dan filem dihasilkan setiap tahun.
Dalam keadaan itulah sekumpulan pembuat filem bebas dari Jedah cuba mengubah keadaan - dengan membawa produk mereka ke Festival Filem Berlin.
Diberi judul Barakah Yoqabil Barakah (Barakah Bertemu Barakah) ia adalah filem komedi mengisahkan cabaran pasangan bercinta untuk berpacaran di negara konservatif seperti Arab Saudi.
Pengarah
Barakah Yoqabil Barakah
Mahmoud Sabbagh (
kiri
) berkata sejak 30 tahun lalu ruang awam di Arab Saudi semakin mengecil termasuk untuk kalangan wanita dan kumpulan minoriti.
"Kumpulan ini (wanita, liberal dan minoriti) semakin kurang kelihatan di tempat awam. Keadaan itu menyebabkan tiada sesiapa mahu menonton filem," katanya kepada Al Jazeera.
Barakah Yoqabil Barakah mengisahkan seorang pelakon amatur yang jatuh cinta kepada seorang gadis anak keluarga berada.
Filem itu didanai Mahmoud dan rakan-rakannya.
Sepanjang penggambaran mereka terpaksa berdepan dengan prejudis dan persepsi negatif daripada orang ramai.
Untuk mengatasinya mereka perlu memberi penjelasan dari semasa ke semasa mengapa filem berkenaan perlu disiapkan.
Kata Mahmoud keadaan semasa di Arab Saudi mendorongnya menghasilkan kisah cinta dengan latar tempat dan masa di negara berkenaan.
Nampaknya gerakan Mahmoud dan rakan-rakannya itu berjaya. Ketika ia ditayangkan di Berlin, semua tiket habis terjual.
"Keseluruhan filem ini dirakamkan di Arab Saudi," katanya.
Sementara itu salah satu watak utama
Barakah Yoqabil Barakah
, Fatima al-Banawi berkata ketika beraksi mengikut skrip di depan lensa kamera orang ramai tidak menyangka dia sebenarnya berlakon.
"Mereka melihat saya sebagai Fatima, bukan Bibi (watak dalam Barakah Yoqabil Barakah ).
"Dari semasa ke semasa mereka akan datang menyapa dan bertanya itu ini. Saya perlu memberi penerangan kepada mereka. Itu realiti yang dihadapi," katanya.
Dengan sambutan baik itu Mahmoud dan pasukannya mempunyai harapan yang sangat sederhana - supaya akan ada lagi aktivis lain mengikut jejak langkah mereka.

