Kalbu Afdlin bergegar
Selebriti pelbagai bakat Afdlin Shauki mengaku hatinya "bergegar" apabila diiktiraf sebagai ikon Penghibur Aspirasi Islam oleh Selangor.
Menulis di Facebooknya Afdlin berkata sudah bertahun-tahun dia menjadi "orang seni" dan menerima pelbagai anugerah.
Namun penganugerahan semalam itu disambutnya dengan kejutan.
"Air mata nak berlinang turun dari mata...," katanya.
Afdlin adalah antara selebriti yang aktif dalam kerja dakwah di sebalik penglibatannya dalam dunia seni dan perniagaan.
Beliau adalah antara segelintir penghibur yang pernah menyertai misi kemanusiaan membantu pelarian perang di luar negara.
Menjelaskan perasaannya Afdlin berkata, selepas menerima penghargaan daripada kerajaan Selangor beliau mengimbau semula pelbagai anugerah yang pernah diberikan sebelum ini.
"Tak satu pun anugerah sebelum ni bermakna seperti anugerah ini.
"Di letak sebagai seorang yang boleh menggerakkan orang ramai untuk mendekati Islam melalui seni adalah satu penghormatan yang bermakna bagi saya walaupun ianya tak glamer.
"Insya-Allah saya akan terus istiqamah. Terima kasih JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) dan pihak penganjur semalam," katanya.
Anugerah itu disampaikan sempena program Gala Aspirasi Seni yang berlangsung dari jam 12 tengah hari hingga 12 tengah malam tadi.
Ia dirasmikan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.
SubhanAllah.. Dalam bertahun saya menjadi org seni dan pelbagai anugerah diterima. Semalam bila mereka sebut nama saya...
Posted by Afdlin Shauki on Saturday, February 20, 2016

