Membawa watak sebagai penjaga gol dalam filem Ola Bola adalah saat paling mencabar dalam hidup M Saran Kumar kerana beliau tidak pernah berlakon sebelum ini.
Penuntut berusia 21 tahun itu, yang membawa watak Muthu, berkata bagaimanapun beliau berpengalaman sebagai pemain bola sepak dengan mewakil pasukan bawah 18 tahun Selangor.
"Tetapi saya bermain untuk posisi pertahanan dan bukan sebagai penjaga gol," katanya sambil memberitahu pengarah Chiu Keng Guan meminta beliau menjalani latihan khusus secara peribadi selama tiga bulan untuk mempelajari teknik sebagai penjaga gol bagi membawa watak dalam filem itu.
Saran yang kini menuntut di tahun dua bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik di Universiti Tenaga Nasional (Uniten) menganggap watak penjaga gol itu tidak membebankan malah berusaha sedaya-upaya menghidupkan watak Muthu.
"Saya berusaha menyelami watak itu malah menangguhkan pembelajaran selama satu semester semata-mata untuk memberi fokus dan komitmen kepada lakonan dalam filem Ola Bola, " katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.
Penonton filem itu mengaitkan watak Muthu dengan penjaga gol nombor satu negara mendiang Datuk R Arumugam yang dikenali sebagai "Spiderman Malaysia" semasa kegemilangan sukan bola sepak negara pada 1970-an dan 1980-an.
Harap dapat kembang bakat
Filem fiksyen bertemakan bola sepak itu mengambil inspirasi daripada kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia berjaya menyertai Sukan Olimpik Moscow 1980.
Saran, anak kelahiran Kepong, Kuala Lumpur, berasa amat teruja apabila ditawarkan berlakon dalam filem itu, yang secara tidak langsung menonjolkan kegemilangan pasukan bola sepak negara serta semangat setiakawan rakyat Malaysia.
Beliau juga amat terharu apabila melihat sambutan luar biasa orang ramai terhadap filem terbitan Astro Shaw itu.
"Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya apabila melihat sambutan penonton. Saya sungguh terharu dan bangga kerana berpeluang menyumbang sedikit kepada kejayaan filem ini," katanya.
Saran berkata susulan pengalamannya berlakon dalam flem itu, beliau kini berminat terhadap bidang lakonan dan berharap dapat mengembangkan bakatnya sebagai pelakon.
"Namun, saya tetap mahu menjadi jurutera eletrik dan elektronik," katanya.
Filem Ola Bola mendapat sambutan hangat sehingga mencatatkan kutipan RM12 juta sejak mula ditayangkan pada 28 Januari lepas di 120 pawagam di seluruh negara.
Filem itu yang dibintangi Bront Palarae turut menampilkan ramai muka baru termasuk pelakon utamanya JC Chee dan Luqman Hafidz serta Marianne Tan, Katrina Ho dan Frankie Lee.
- Bernama
