Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Penulis dan budayawan, Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah berkata ketika kerajaan mahu memperkukuhkan bahasa Inggeris, kedaulatan bahasa Melayu tidak boleh dikorbankan.

Ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini, Raja Ahmad ( gambar ) berkata, beliau antara individu yang mempunyai keinginan besar untuk melihat bahasa Melayu dihormati sebagai bahasa kebangsaan.

"Kita telah sekian lama meminta bahasa Melayu diperluaskan, diperkukuhkan di peringkat swasta mahupun kerajaan.

"Ini adalah sesuatu yang diperjuangkan sejak puluhan tahun sebelum zaman kemerdekaan. Seharusnya isu ini tidak lagi timbul," katanya kepada Malaysiakini .

Raja Ahmad diminta mengulas rancangan kerajaan melaksanakan Program Dwibahasa di kira-kira 300 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.

Swasta utama bahasa Inggeris

Program perintis itu dibuat mengikut dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Ia ditentang segelintir budayawan, penulis, sasterawan dan pencinta bahasa Melayu. Gerakan antidasar itu sudah diadakan di depan sebuah kompleks beli-belah di Kuala Lumpur pada 15 Februari lalu.

Dihadiri tiga sasterawan negara, kempen itu nampaknya tidak menarik ramai orang. Malah menurut Pyanhabib, anggaran kehadiran hanya kira-kira 50 orang.

Ia berbeza dengan reaksi masyarakat terhadap program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Kemuncak bantahan program itu adalah demonstrasi besar-besaran di tengah Kuala Lumpur.

Ia kemudian dibatalkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin - selaku menteri pendidikan dan timbalan perdana menteri - pada 2012.

Raja Ahmad berkata realiti semasa ialah kebanyakan syarikat swasta dilihat mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris.

"Kebanyakan perusahaan swasta mementingkan penguasaan bahasa itu semasa mengambil calon pekerja baru.

"Ini realiti yang tidak boleh dipejamkan mata, seolah-olah fenomena Nelsonian Blindness. Inilah yang kita perlu hadapi," katanya.

Pada masa sama, Raja Ahmad turut mempersoalkan penggunaan pinjaman bahasa Inggeris meluas di Putrajaya, seperti precinct.

Justeru, Raja Ahmad menyeru agar pihak yang bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian terbaik sekiranya mereka benar-benar mahu memperkasakan bahasa Melayu.

"Ini tanggungjwab besar pada penguasa. Apakah peraturan sedia ada mencukupi?

"Kalau tidak cukup, siasat di mana dan tambah mana yang perlu," katanya.

Lihat Komen
ADS