Cinta tidak berbelah bahagi terhadap kisah berlatar belakang kebudayaan dan kesenian membuatkan aktor Remy Ishak tidak mahu ketinggalan menjayakan pementasan muzikal randai, Cindua Mato .

Menurut Remy, 34, sudah lama dia menunggu naskhah klasik penuh adat istiadat seperti Cindua Mato dan penantian itu dianggap berbaloi.

“Sudah lama saya nantikan naskhah seperti ini, cuma ia tidak kunjung tiba.

“Kalau datang pun pada masa yang tidak kena.

“Saya berbesar hati dapat membawa watak Cindua Mato kerana beliau tokoh yang menjadi kebanggaan masyarakat Minangkabau.

“Justeru, apabila abang Joe tawarkan peluang berlakon Cindua Mato, saya tidak mahu ketinggalan untuk turut sama dalam projek kali ini,” katanya.

Beliau merujuk kepada ketua pengarah Istana Budaya Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Makanan jiwa

Wajah Remy jelas begitu bersemangat sewaktu bercerita sedikit-sebanyak mengenai kisah Cindua Mato ketika ditemui selepas majlis pratonton naskhah berkenaan di Istana Budaya di ibu negara kelmarin.

Cindua Mato adalah kisah rakyat yang sejak turun-temurun menjadi kebanggaan masyarakat Minangkabau, khususnya di Sumatera Barat.

Randai pula adalah kesenian tradisional yang dibawa oleh masyarakat Minangkabau yang berhijrah dan bermastautin ke tanah Melayu.

Bagaimanapun, untuk memudahkan pemahaman penonton, pementasan Cindua Mato akan menggunakan 95 peratus bahasa Melayu.

Bahasa Minangkabau cuma digunakan dalam beberapa babak seperti nyanyian dan puisi selain turut diterjemahkan maksudnya menerusi paparan skrin.

Pementasan ini masih akan mengekalkan struktur asal persembahan randai seperti gelombang (bulatan), kaba (unsur penceritaan), dendang (lirik lagu), gaya bahasa dan kostum mengikut status sosial sesebuah watak.

Menganggap sesebuah kisah rakyat sebagai “makanan jiwa”, Remy sanggup mengambil tawaran itu biarpun perlu berdepan dengan cabaran.

Nyanyian Minang

Pementasan itu memerlukan pelakon utamanya menyanyi dalam bahasa Minangkabau.

“Sungguhpun teruja, saya masih khuatir kerana perlu bernyanyi di atas pentas kerana itu bukanlah bidang saya.

“Namun, ini bukan kali pertama saya menyanyi. Tahun lalu saya menyanyi untuk pementasan teater Sekuntum Mawar Merah .

“Latihan akan bermula awal bulan depan dan setakat ini, saya hanya menghafal dan mengingati tetapi belum lagi dapat menghayati lirik,” katanya.

Selain Remy, antara barisan artis yang akan turut menjayakan Cindua Mato adalah Azhan Rani, Ashraf Muslim, Puteri Aishah Sulaiman, Datuk Jalaluddin Hassan, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Ebby Yus, Juhara Ayob dan Zuhairi Ibrahim.

Usaha mengetengahkan dan meneruskan kelangsungan seni randai dalam masyarakat ini dibawakan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Istana Budaya.

Pementasan Cindua Mato dijadual berlangsung pada 25 hingga 27 Mac depan.