Gagal dikesan di UK, notis rayuan kes Yusoff Rawther belum dapat diserah
Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu bahawa pihak pendakwaan masih belum dapat menyerahkan notis rayuan secara fizikal kepada bekas pembantu penyelidik kepada seorang anggota parlimen, iaitu Muhammed Yusoff Rawther yang kini berada di United Kingdom (UK).
Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berkata pihak berkuasa di UK dan Ireland gagal mengesan Muhammed Yusoff atau menyampaikan notis itu kepadanya meskipun bantuan Interpol dimohon.
"Pihak pendakwaan dimaklumkan bulan lepas bahawa usaha mengesan responden tidak berhasil... pihak berkuasa juga tidak mempunyai maklumat berhubung permohonan suaka yang dikemukakan," katanya pada prosiding pengurusan kes di hadapan panel tiga hakim terdiri daripada Azman Abdullah, Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K Muniandy.
Pendakwaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan tanpa dipanggil membela diri.
How berkata peguam Muhammad Yusoff juga memaklumkan kepada mahkamah pada prosiding sebelum ini bahawa mereka masih berhubung dengan responden dan menerima arahan untuk mewakilinya dalam rayuan berkenaan.
"Oleh itu, pendakwaan memohon mahkamah menetapkan satu lagi tarikh pengurusan kes bagi membolehkan usaha mengesan dan menyampaikan notis kepada responden diteruskan serta memohon supaya prosiding dijalankan menerusi aplikasi Zoom bagi membolehkan responden hadir secara dalam talian untuk memaklumkan keberadaannya di UK untuk memudahkan penyerahan notis rayuan tersebut," katanya.
Berhubung permohonan supaya prosiding dijalankan secara Zoom, Azman berkata kes itu tidak seharusnya diberikan layanan berbeza berbanding kes jenayah lain.
"Saya tidak mahu membuat pengecualian dalam kes ini... kes ini melibatkan prosiding jenayah dan responden perlu hadir secara fizikal ke mahkamah... mahkamah juga tidak mahu mewujudkan duluan yang tidak perlu.
“Jika pihak pendakwaan berjaya mengesannya, bawa dia ke hadapan mahkamah ini," katanya yang meminta peguam supaya menasihati responden agar pulang ke Malaysia.
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, mewakili Muhammed Yusoff, berkata pihaknya akur bahawa penyerahan notis rayuan secara fizikal adalah satu kewajipan di bawah undang-undang mengikut Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah namun memaklumkan anak guamnya tidak melarikan diri sebaliknya berada di UK untuk memohon suaka.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 Feb tahun depan sebagai tarikh pengurusan kes itu.
Pada 12 Jun 2025, Hakim Mahkamah Tinggi Muhammad Jamil Hussin membebaskan Muhammed Yusoff, 33, selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Mahkamah berpendapat pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas pistol serta dadah berkenaan berdasarkan keterangan saksi.
Muhammed Yusoff didakwa mengedar kanabis seberat 305 gram dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 10.15 pagi 6 Sept 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dia juga dituduh memiliki pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara pada 9.25 pagi tarikh yang sama mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
- Bernama
Lapor komen ini
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2019/12/df3113bc5881dc8b226246cf9f15c194.jpg)



/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/adfd44ac55567819533ec7dd8300f379.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2026/06/e28e2b3028244baa3b33385a42fcebfe.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/06/86a6c15fd9a93fedec25002376287070.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/12/2d31424fc8f86ffbe5ceda562f470f8d.jpg)
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2025/09/d8ff0d1a61ab7e976e12b893d2c8b845.jpg)
Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.