Akhirnya, DiCaprio...
Tidak sia-sia usaha Leonardo DiCaprio mempelajari teknik rawatan kuno, mendalami dua bahasa puak asal Amerika dan memakan hati mentah bison - walaupun dia seorang pemakan sayur-sayuran.
Hari ini DiCaprio diumum sebagai pelakon lelaki terbaik Anugerah Acedemy ke-88 yang diadakan di Los Angeles, AS.
Sebaik saja nama DiCaprio diumumkan sebagai pemenang melalui filem The Revenant, penonton berdiri dan memberi tepukan gemuruh sebagai tanda sokongan.
Ia adalah pencalonan keenam DiCaprio dan Oscar pertama untuknya.
Di atas pentas DiCaprio mengambil kesempatan berucap dengan menyentuh beberapa isu penting seperti perubahan iklim yang mengancam dunia.
“Perubahan iklim benar-benar terjadi dan ia berlaku sekarang.
“Ia adalah ancaman terhadap semua spesies di muka bumi, justeru, kita perlu bekerjasama dan berhenti membuang masa.
“Manusia tidak harus mengambil kesempatan dengan adanya isu populasi global,” katanya.
Ucapan penghargaan DiCaprio juga turut ditujukan kepada ‘adiknya’ Tom Hardy, dan sinematografer Emmanuel Lubezki serta pengarah Martin Scorsese.
Mahu cahaya semula jadi
DiCaprio, 41, memegang watak utama sebagai Hugh Glass dalam filem The Revenant yang berkisar hidup pemburu bulu haiwan pada abad ke-19.
Dalam kisah itu, Glass bertarung nyawa untuk hidup selepas diserang beruang, diancam puak Red Indian, dikhianati dan ditinggalkan untuk mati oleh kumpulannya.
Kehebatan The Revenant bukan saja terletak pada DiCaprio, malahan pengarahnya iaitu Alejandro Gonzalez Innaritu yang terkenal dengan filem Birdman, Babel dan 21 Grams .
The Revenant mendapat 12 pencalonan tetapi malangnya hanya mengungguli tiga kategori iaitu pelakon lelaki terbaik (DiCaprio), pengarah terbaik (Innaritu) dan sinematografi terbaik (Lubezki).
Nama DiCaprio pernah dicalonkan melalui filem What’s Eating Gilbert Grape, The Aviator, Blood Diamond dan The Wolf of Wall Street.
Kejayaan DiCaprio untuk wataknya sekaligus mengetepikan pencabar lain iaitu Matt Damon (
The Martian
), Bryan Cranston (
Trumbo
), Eddie Redmayne (
The Danish Girl
) dan Michael Fassbender (
Steve Jobs
).
Untuk mendapatkan tahap kualiti diingini, Innaritu berkeras untuk menjalani penggambaran dengan hanya menggunakan cahaya semulajadi yang ketika cuaca sejuk beku.
Bagi Innaritu, kejayaan hari ini membuatkan dia berasa amat bertuah kerana berada pada tahap pencapaian terbaiknya.
Ucapan penghargaan Innaritu ketika menggenggam Oscar juga bukan sembarangan.
Kate Winslet reacting to Leo's Oscar win is all of us reacting to Leo's Oscar win https://t.co/zP9FLVrclu pic.twitter.com/u41pctTl1C
— Huffington Post (@HuffingtonPost) February 29, 2016
Dalam ucapannya itu dia turut menyentuh beberapa isu sentimen perkauman yang sengaja ditonjolkan dalam karyanya itu.
Dia memulakan ucapannya dengan berkata: “Malangnya tidak semua memiliki tuah yang sama.”
Innaritu kemudian merujuk kepada dialog yang dilafazkan Glass ketika memberi nasihat kepada anak lelakinya yang berasal dari bangsa pribumi.
“Mereka tidak akan mendengar pendapatmu kerana yang mereka lihat hanyalah warna kulit kamu,” ujarnya.
Innaritu kemudian menggesa masyarakat membebaskan diri daripada sebarang prejudis, selain mengimpikan masa depan yang tidak menghiraukan warna kulit atau "panjang pendek rambut seseorang".

