Pada 25 Mac ini bandar raya Havana akan digegarkan oleh kumpulan The Rolling Stones dan dianggap konsert paling menonjol pernah diadakan di Cuba sejak revolusi 1959.

Kumpulan rock berasal dari London itu akan membuat persembahan tiga hari selepas Presiden AS Barack Obama melawat Havana.

Laporan AP menyebut konsert berkenaan dijangka menarik kehadiran ramai walaupun Cuba pernah menghukum rakyatnya kerana mendengar muzik rock.

"The Rolling Stones pernah mengadakan persembahan di banyak tempat istimewa sepanjang kerjaya kami tetapi konsert di Havana ini akan menjadi mercu tanda kepada kami.

"Semoga ia juga menjadi kenangan paling manis untuk rakan-rakan The Rolling Stones di Cuba," kata kumpulan itu dalam kenyataannya semalam.

Walaupun pernah melaksanakan dasar yang mencengkam, kerajaan Cuba mula melonggarkan banyak kekangan ke atas rakyatnya, termasuk larangan terhadap muzik, seni dan kesusasteraan luar.

Havana juga sudah membenarkan perhimpunan awam diadakan sejak beberapa tahun lalu.

Konsert The Rolling Stones dijangka menjadi satu daripada perhimpunan terbesar pernah diadakan di Cuba sejak larangan berkumpul dikuatkuasakan kerajaan pada 1990-an.

Pada minggu sama lawatan Obama dan The Rolling Stones, pasukan besbol profesioal Tampa Bay Rays juga akan mengadakan perlawanan pertama di Cuba sejak 1999.

Cuba mula dibanjiri pelancong dan orang kenamaan asing serta selebriti kira-kira setahun selepas Obama dan Presiden Raul Castro mengumumkan akan memulihkan hubungan antara Washington - Havana, pada 17 Disember 2014.

Sebelum ini konsert terbesar di Cuba diadakan pada 2009 apabila penyanyi Colombia, Juanes, menarik kedatangan lebih sejuta orang di Plaza Revolusi di Havana.

UPDATE: #RollingStones to perform in Havana; biggest act to play Cuba since '59 revolution https://t.co/LgiH5CL76v pic.twitter.com/zLynVVtbOF

— AP Entertainment (@APEntertainment) March 1, 2016