Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kumpulan Pitahati berharap karya terbaru mereka, Selamat Datang Ke Panggung Suara menjadi kegemaran peminat ‘ghaib’ – kumpulan peminat yang tidak selalu nampak di mata, tetapi tidak pernah menghampakan dalam bab membeli album.

Menurut vokalis Pitahati, Mohd Ilham Nasir, meskipun kumpulan itu dikatakan tampil dengan kelainan, namun mereka yakin peminat sedia ada pasti mendapatkan album berkenaan sekiranya ia berada di pasaran.

“Pada dasarnya kita menganggap semua peminat muzik meminati benda yang sama.

“Tetapi sebenarnya, ada subgenre dan setiap bahagian itu ada peminat tersendiri.

“Peminat jenis ini bukan yang selalu nampak di mana-mana, mungkin mereka berpeleseran di kompleks beli-belah Amcorp, misalnya.

“Dan sekurang-kurangnya kami capai matlamat jualan walaupun tidak mempunyai jutaan pengikut di media sosial,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran album berkenaan di Petaling Jaya baru-baru ini.

Dalam erti kata lain, Mohd Ilham cuba menyampaikan maksud, biarpun album ketiga Pitahati itu turut mengandungi alunan muzik instrumental, konsep seperti itu tetap mempunyai pasaran sendiri.

Pitahati dianggotai oleh Mohd Ilham selaku vokalis, Hidayat (gitaris), Zahar (gitaris), Masrin (basis) dan Yasin (dram).

Tanpa ruang kedap bunyi

Album yang membawa tema "panggung suara" itu adalah hasil eksperimental bunyi yang dilakukan secara langsung dalam ruang studio tidak kedap bunyi.

Untuk merakam dalam studio tidak kedap bunyi, Pitahati terpaksa mendepani pelbagai cabaran.

Antaranya, menghentikan rakaman sebanyak dua kali apabila hujan bagi memastikan bunyi berkenaan tidak terakam bersama.

Proses merakam juga mengambil masa hingga 16 jam sehari, dan pernah selesai sehingga jam 5 pagi.

Album yang diterbitkan oleh Luncai Emas itu memuatkan 18 lagu antaranya Buka Panggung, Kronchong Muda Mudi, Balada Aku Engkau, Abang Funky dan Tutup Panggung.

Turut dimuatkan dalam Selamat Datang Ke Panggung Suara adalah lagu yang menjadi runut bunyi bagi filem Terbaik Dari Langit iaitu Sahabat yang mendapat pencalonan Lagu Tema Terbaik di Festival Filem Malaysia lalu.

Dengan menyajikan muzik 'berbeza' untuk telinga peminat, Pitahati berharap kelainan itu dapat memberi kepuasan tersendiri dan diterima oleh pengikut setia mereka.

“Sebenarnya, apa yang dianggap pelik itu adalah kerana ia bukan bunyi yang biasa kita didengari.

“Tetapi itu yang kami mahukan, malah berharap muzik yang kami perjuangkan ini berbeza daripada apa yang kita sering dengar di radio,” katanya.

Menariknya, Pitahati mempunyai kemahuan lain dari lain tatkala ekonomi negara masih tidak stabil dalam mempromosi album terbaru mereka.

Selain dijual dalam bentuk cakera padat, mereka juga berani mempertaruhkan produk dalam bentuk piring hitam dengan harga RM130 sekeping.

“Dalam hal ini tidak perlu takut sekiranya yakin dengan peminat dan pasaran yang ada.

“Kalau takut bermakna tidak yakin dengan kreativiti yang kita keluarkan," katanya.

Menurut Mohd Ilham, ia boleh dianggap sekadar permulaan dan promosi begitu diyakini mempunyai kebaikan.

“Bukan tidak realistik nak keluarkan sampai sejuta piring hitam. Kalau ya pun, alhamdulillah, tetapi dengan cara ini daripada 500 unit diperuntukkan bagi prapesanan, 100 unit sudah terjual,” katanya.

Lihat Komen
ADS