Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Kumpulan Radja tetap yakin mereka akan mendapat sokongan padu daripada peminat walaupun vokalisnya terpalit dengan tuduhan salah laku seksual.

Menurut vokalis band berkenaan, Ian Kasela atau nama asalnya Iandhika Mulya Ramadan, 40, isu dia didakwa melakukan pencabulan penyanyi dangdut Indonesia itu tidak menganggu tumpuannya kerana yakin dirinya tidak bersalah.

Malah, Ian juga dilihat begitu positif terhadap keazaman peminat yang memilih untuk berdiri teguh bersama kumpulan Radja hingga ke hari ini.

Kesetiaan itu, katanya, bagaikan seiring dengan keyakinan peminat yang pernah berkongsi pengalaman semasa berlakunya fasa jatuh bangun band itu dalam industri muzik sejak 15 tahun lalu.

“Apabila tiba saatnya dipanggil polis untuk memberi keterangan nanti, sudah pasti peminat akan memihak pada saya.

“Saya berasa amat yakin dengan perkara berkenaan,” katanya kepada Malaysiakini selepas sidang media pelancaran single terbaru Radja, Setia , di Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, Ian menjelaskan skandal seks yang dikaitkan dengan namanya sekadar gimik oleh pihak tertentu.

Pembuat isu bertanggungjawab

Bagaimanapun, Ian enggan mengulas lebih lanjut mengenai punca dia dikaitkan dengan gimik berkenaan.

Media di Indonesia baru-baru ini melaporkan seorang penyanyi baru dangdut membuat aduan kepada polis kononnya Ian mencabulnya.

Bagaimanapun setakat ini Ian tidak dianggap sebagai suspek dan polis dilaporkan akan mengambil keterangannya untuk melengkapkan siasatan.

Kes Ian dilaporkan kepada polis pada 6 Februari lalu.

Apabila ditanya Malaysiakini seandainya dia bimbang tuduhan tersebut akan menjejaskan popularitinya, ini jawapan Ian: "Sudah tentu, kerana segala isu negatif pasti menjatuhkan seseorang. Tetapi saya menganggap, tidak kira isu negatif bagaimana sekalipun, si pembuat isu harus bertanggungjawab di kemudian hari,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Setia , Radja berpendapat ia adalah ‘hadiah’ daripada mereka sebagai pelepas rindu buat peminat.

Selain Ian, Radja turut dianggotai oleh Moldy (gitaris), Indra (basis) dan Seno (drum).

Dua anggota kumpulan Radja, Indra dan Seno pernah mengambil keputusan untuk keluar pada 2010, namun kembali semula untuk bergabung. Kemudian, terhasillah Setia .

Radja memang tidak asing di Malaysia. Antara lagu mereka yang pernah sering berkumandang adalah Jujur, Tak Kan Melupakanmu, Aku Ada Karna Kau Pun Ada dan Benci Bilang Cinta .

Dan kehadiran mereka di sini bukan sekadar untuk mempromosi single Setia , malah dikatakan sedang merancang untuk menjalankan konsert jelajah di lima lokasi di negara ini.

Kata Ian, walaupun masih di peringkat rancangan, Radja yakin ia dapat diteruskan sebelum Aidilfitri tahun ini.

“Kuala Lumpur bakal menjadi lokasi pelancaran perdana konsert berkenaan.

“Apa yang saya dapat kongsikan adalah kami akan tampil dengan konsep berbeza dan untuk itu, Radja harus membuat persediaan yang amat serius bagi melaksanakannya,” katanya.

Lihat Komen
ADS