Artis veteran 'jadi muda' 30 tahun
Di usia 60 tahun penyanyi Thailand, Surachai Sombatchareon, muncul dengan wajah lebih muda, segar dan ceria - terima kasih kepada prosedur pembedahan kosmetik yang dijalaninya pada bulan lalu.
Surachai yang turut dikenali di Thailand sebagai pelakon dilaporkan kelihatan "lebih muda daripada lelaki berusia 30 tahun".
Portal Bangkok Post melaporkan pembedahan kosmetik berkenaan dicadangkan oleh "Dr Xeping" Chaiyasan - seorang personaliti bukan doktor perubatan yang beberapa kali mencuri perhatian di Thailand.
Menurut wanita itu, dia menggunakan teknik tertentu pada 10 tempat berbeza pada muka bagi mengubah wajah seseorang menjadi lebih muda.
Februari lalu Bangkok Post melaporkan Xeping menafikan dia terlibat dalam sebarang salah laku walaupun dakwaan kemampuannya mengubah wajah seseorang dilihat keterlaluan.
Digelar sebagai "penasihat pembedahan plastik" Xeping menggerakkan promosi projek Face Off by Dr Xeping .
Beberapa doktor turut mengecam Xeping kerana menggunakan perkataan mengelirukan pengguna dan mungkin menyebabkan mereka menaruh harapan palsu.
Hospital Kosmetik Kamol yang dilaporkan menjadi pusat menyediakan perkhidmatan itu pula mungkin dikenakan tindakan undang-undang kerana mengadakan promosi berkenaan.
Walaupun mengakui dia bukan doktor perubatan Xeping mendakwa dia memiliki ijazah doktor falsafah dalam bidang yang tidak didedahkannya.
Sebelum ini juga Presiden Persatuan Pembedahan Plastik Thailand, Dr Cholatis Sinratchatanan membuat aduan Xeping mendakwa kononnya mereka mempunyai pertalian kekeluargaan.
Menjawab aduan itu Xeping kemudian muncul dalam sidang media untuk "menjelaskan keadaan".
Sambil menangis di depan media Xeping berkata, Dr Cholatis mungkin berdendam dengannya kerana dia tidak lagi mencadangkan nama pelanggan kepada pakar pembedahan berkenaan.

