Bukan main-main niat penyanyi Dewa 19, Ahmad Dhani, mahu menyertai politik sekali gus menggantikan Basuki Tjahaja Ppurnama sebagai Gabenor Jakarta.

Sebagai satu daripada bukti kesungguhannya , Ahmad Dhani dilaporkan nekad menjual barang-barang berharga disayanginya demi melanjutkan rancangan politiknya.

Dalam kenyataan yang dilaporkan Tempo Online, Ahmad Dhani sudah bersiap siaga dengan sebaik menyatakan persetujuannya untuk menyertai Parti Kebangkitan Bangsa (PKB) dan Gerakan Pemuda Ansor (GP Ansor).

"Banyak wang diperlukan untuk bertanding , justeru saya perlu mencari modal mencuupi termasuk dengan menjual harta yang ada, termasuk kenderaan.

"Hal itu terjadi meskipun saya baru menjadi bakal calon, belum lagi benar-benar menjadi calon," kata Ahmad Dhani.

Begitulah semangat yang dapat dilihat ada dalam diri Ahmad Dhani untuk menjadi seorang pemimpin.

Penglibatan Ahmad Dhani dalam politik bukan baru. Ketika pilihan raya presiden 2014 dia tampil terbuka sebagai seorang daripada selebriti yang menyokong Prabowo Subianto ketika bekas pegawai kanan tentera itu berdepan dengan calon lawan, Joko Widodo.

Tiada sesiapa protes

Seorang pemimpin PKB pernah menjadi Presiden Indonesia, iaitu Allahyarham Abdurrahman Wahid.

Ahmad Dhani adalah antara artis yang dilihat rapat dengan Abdurrahman yang lebih dikenali dengan panggilan Gus Dur itu.

Kata Ahmad Dhani dengan menjual kereta sekurang-kurangnya dia ada sedikit modal untuk menjalankan kaji selidik selain mendekatkan diri kepada masyarakat setempat.

Untuk lebih berjaya dalam pemilihan kali ini, Ahmad Dhani turut meminta restu daripada keluarga.

Katanya, keluarga tidak membantah malah memberi 100 peratus sokongan untuk bertanding menjadi gabenor berdepan dengan Basuki - atau lebih mesra dengan panggilan Ahok - pada tahun depan.

"Tiada yang perlu dirisaukan kerana yang akan dijual bukan kenderaan Al (anak Ahmad Dhani, Ahmad Al Ghazali, 18). Sekiranya kenderaan itu milik dia mungkin protes patut timbul," ujarnya berseloroh.

Indonesia mengamalkan demokrasi meluas dengan mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi melantik pemimpin setempat.

Jika ditakdirkan Ahmad Dhani menang, dia bukanlah selebriti pertama mempunyai jawatan dalam kerajaan kerana sebelum ini sudah ramai artis melakukannya.

Terbaru vokalis Ungu, Pasha, dilantik sebagai pemimpin daerah Palu.