Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Naluri keibuan penyanyi Misha Omar bagaikan berbunga-bunga ketika anak angkatnya menjadi begitu budiman memanjakan adik mereka walaupun ketika masih dalam rahim.

Dilihat menjadi "sangat baik", anak sulung Misha, Muhammad Adam Emir, 10, kini rajin menyantuni ibu mereka, seperti menyapu minyak pada perut setiap kali ketiadaan suami penyanyi itu di rumah.

Dilihat agak beremosi air mata Misha sempat tumpah di depan wartawan ketika dia menceritakan perihal Adam.

“Apabila suami keluar bekerja, saya sengaja menguji Adam untuk melihat sama ada dia mengerti atau tidak mengenai kehamilan ini.

“Adam biasanya akan mengusap dan membantu menyapu minyak angin pada perut saya,” katanya selepas sidang media pengumuman Minggu Setiausaha Bersama Datuk Jamal Abdillah dan Misha Omar di Hotel The Royal Chulan, Kuala Lumpur petang tadi.

Di sidang media itu jugalah Misha atau nama asalnya Samihah @ Aisah Omar, 34, mendedahkan buat pertama kali berita kehamilannya kepada umum.

Kasih sayang tak berubah

Enggan menyembunyikan berita baik seperti itu, Misha yang kelihatan sedikit berisi mengakui lega selepas berkongsi perasaannya.

“Menyimpan keadaan kehamilan ini daripada umum begitu lama membuatkan saya rasa bersalah.

“Namun pada masa sama saya juga tidak suka didesak dengan soalan mengenai kehamilan. Jadi baik saya kongsikan sendiri kerana keadaan perut yang semakin membesar," katanya.

Misha mendirikan rumahtangga dengan seorang juruterbang Penerbangan Malaysia (MAS), Firos Ezzwan Rossly, 34, pada 2 Mei 2014.

Selain Adam, mereka turut mempunyai seorang lagi anak angkat iaitu Humaira Lateefa yang kini berusia empat tahun.

Kata Misha, dia juga menghargai doa peminat yang selalu mengharapkan kebahagiaannya.

Sementara itu, masih ada sedikit 'rahsia' yang Misha enggan kongsikan buat masa ini.

Nampaknya Misha mahu merahsiakan untuk sementara usia kandungan. Justeru apabila ditanya tentang hal itu, Misha hanya tersenyum.

Selain bergelar penyanyi, Misha turut menceburkan diri dalam bidang lakonan serta menjadi duta produk dan pengacaraan.

Bagi Misha, meskipun bayi dalam kandungan adalah yang pertama, dia masih menganggap anak berkenaan adalah yang ketiga sesudah Adam dan Lateefa.

“Dengan anak, saya sememangnya telus terutama apabila dia bijak memahami keadaan sekeliling.

“Acapkali saya berbual dengan Adam mengenai kandungan dan adiknya yang bakal dilahirkan.

“Apabila saya berkata kasih sayang ini tidak akan berubah dan tetap akan sama, bukan saja dia menitiskan air mata malah saya juga turut menangis,” ujarnya sambil mengesat tisu bagi menyeka air mata di pipinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS