Sexista Punk 'senjata' lawan gangguan seksual
Sekumpulan pemuzik wanita di Mexico menggunakan lagu dan pistol konfeti sebagai pendekatan terbaru menangani gangguan seksual di kalangan masyarakat negara itu.
Menggunakan lagu Sexista Punk, mereka dilaporkan memilih untuk mendidik wanita - dengan kesedaran dan pengetahuan - berbanding lelaki seperti kebiasaan dilakukan di tempat lain.
Anggota kumpulan Las Hijas de Violencia (Anak-anak Keganasan), Ana Karen, berkata melalui pendekatan diambil itu wanita Mexico lebih yakin berdepan dengan mana-mana pihak - terutama lelaki - yang mengganggu mereka.
"Kini saya berasa lebih yakin dan saya tidak lagi ketakutan di jalanan," katanya.
Las Hijas de Violencia adalah kumpulan punk dianggotai tiga wanita di Mexico City yang mengajar orang ramai supaya 'bangkit melawan' sesiapa saja yang mengganggu mereka.
Bagi kumpulan itu, jika mereka diganggu mereka akan mengejar individu terbabit, mengeluarkan pistol konfeti, menembak mereka dengan cebisan kertas berwarna dari 'senjata' berkenaan sebelum memasang lagu Sexista Punk.
"Kita mesti memberi tindak balas, dan kita boleh menggalakkan lebih ramai wanita melakukan reaksi sama," kata Ana.
Ramai curigai polis
Melalui lagu, katanya, seseorang wanita boleh berseronok sambil memberi pengajaran serta tidak berasa terganggu dengan perbuatan yang dilakukan ke atas mereka.
Seorang lagi anggota kumpulan itu Ana Beatriz pula berkata dalam dunia yang didominasi lelaki mereka beranggapan mendidik wanita lebih berkesan bagi mengatasi masalah berkenaan.
"Kebanyakan lelaki yang sebelumnya mengganggu wanita akan meminta maaf selepas kami 'menyerang' mereka dengan pistol konfeti dan lagu," katanya.
Ketika ini tiada undang-undang bagi menangani isu gangguan seksual di Mexico.
Jika ada pun pemerhati berpendapat, bagi penduduk negara yang sentiasa mencurigai polis, biasanya sukar untuk mangsa membuat aduan rasmi kepada pihak berkuasa.

