Mula-mula Dahlia Poland mendakwa diganggu makhluk halus tetapi kini makhluk halus itulah yang menjadi 'penjaga' pelakon dan model remaja itu.
Mengaku dia mampu melihat ke alam ghaib sejak di sekolah rendah, Dahlia berkata kebolehan itu mungkin diwarisi daripada turun-temurun.
"Sejak nenek saya lagi keluarga kami memang sudah biasa dengan hal-hal begini," katanya kepada media tempatan di Jakarta semalam.
Isteri kepada Fandy Christian itu berkata pada peringkat awal dia memang selalu ketakutan dan kemunculan makhluk halus berkenaan berlaku tanpa diduga.
Ia mendorong Dahlia dan keluarganya berusaha membuat 'pendinding' sehingga dia tidak lagi berasa takut.
"Kali pertama gangguan muncul, ia berupa gadis berbaju hitam, mukanya hodoh sebelah.
"Ia muncul sangat dekat dan saya menangis meraung," katanya.
Pelakon sinetron Ganteng Ganteng Serigala itu memberitahu hingga kini dia akan ternampak bayangan begitu dari semasa ke semasa.
Lahir di Florida, AS 19 tahun lalu, Dahlia berkata 'penjaganya' dikenali sebagai Sri Weningsih.
Ia berlaku sejak dia di sekolah rendah dan bermula dengan mimpi sehingga dia tidak mampu bergerak-gerak di tempat tidur. Insiden itu, kata Dahlia, berulang sehingga lima kali.
Sejak itulah, katanya, Sri Weningsih itu menjadi peneman.
