Search 'bawa kapal perang' untuk peminat?
Sebahagian peminat mungkin kecewa apabila konsert Search35 terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan, namun jika mereka bertabah, kemungkinan besar impak persembahan pada 30 Ogos nanti akan dikenang seumur hidup.
Sesuai dengan tajaan oleh syarikat berkaitan penerbangan, pentas yang akan dipersiapkan nanti juga akan menggambarkan tema dengan 'semangat' sama.
Bercakap kepada Malaysiakini, pemain bass Search, Nasir berkata ilham menyediakan pentas datang daripadanya yang mahukan kelainan berbanding konsert terdahulu.
"Saya mahu mengikut tema tertentu, justeru di atas pentas akan ada reka bentuk seperti kapal perang.
"Ia mungkin menelan belanja ratusan ribu dan atas sebab itu juga kami memerlukan lokasi yang mempunyai ruang besar untuk mengangkut keperluan pentas," katanya.
Gambaran pentas itu yang dilihat Malaysiakini menunjukkan rekaan pentas seperti kapal perang tentera laut itu tidak terlalu tinggi dari penonton, dan akan ada kesan cahaya di tepi seolah-olah kelihatan seperti air.
Mengikut perancangan awal, anggota kumpulan Search akan turun dari 'pesawat udara' sebelum meneruskan persembahan di atas pentas berkenaan.
Pentingkan aspek keselamatan
Kata Nasir, ketika perbincangan dibuat mengenai konsert berkenaan dulu, pelbagai idea dikemukakan namun ia belum cukup memuaskan.
Kemudian apabila dia mencadangkan idea pentas bertema kapal perang, semua orang terkejut tetapi pada masa sama menyukainya.
Dari segi tenaga kerja untuk pengendalian utama persembahan - seperti sistem monitor, pencahayaan dan jurutera bunyi - akan didatangkan khas dari luar negara.
Terdahulu di sidang media mengumumkan tarikh baru konsert Search35 itu Amy berkata ia terpaksa ditangguhkan selepas mereka dan penganjur dan mengambil kira kesukaran yang bakal dihadapi peminat, terutama golongan kelainan upaya, selain aspek keselamatan.
A photo posted by Suhaimi A.Rahman > Amy SearcH (@akuamysearch) on
Untuk makluman, ketika ini ada projek pembangunan mega dijakankan di kawasan bersebelahan Stadium Merdeka yang dianggap boleh menjejaskan tahap keselamatan orang ramai.
Justeru, konsert yang sepatutnya diadakan 9 April ini terpaksa ditunda ke tarikh dirasakan paling sesuai serta bersempena dengan sambutan hari kemerdekaan.
Dan dengan penundaan tarikh berkenaan, Search berharap dari segi pelaksanaan dan persediaan pihaknya mempunyai masa lebih banyak untuk mempamerkan persembahan lebih bermakna buat peminat mereka.
"Ini bukan sekadar konsert biasa tetapi adalah perayaan puluhan tahun peminat bersama Search.
"Kami berharap konsert ini dapat memecahkan rekod konsert yang pernah diadakan sebelum ini.
"Kami nak buat sehabis baik, bukan sekadar melepas batuk di tangga," katanya di Bangsar, Kuala Lumpur hari ini.
Asalnya Search merancang mengadakan konsert berkenaan di Stadium Merdeka untuk meraikan 35 tahun mereka dalam industri hiburan di negara ini.
Ada tiket percuma
Konsert mendapat tajaan RM2 juta itu dibawa penganjur, Afjets Sdn Bhd menjadi lebih istimewa kerana menyediakan segmen khas untuk pemain dram mereka, Yazid Ahmad, untuk kembali beraksi selepas sekian lama tidak beraksi akibat masalah kesihatan.
Amy juga menolak dakwaan kononnya faktor penjualan tiket tidak memberangsangkan menjadi sebab utama tarikh konsert berkenaan ditunda.
Sebaliknya, kata Amy, menjayakan sambutan 35 tahun Search adalah sesuatu yang amat mencabar dan segala faktor perlu dititikberatkan sebaik mungkin.
Di konsert itu nanti Search turut mengundang seorang pemain gitar kumpulan Loudness (dari Jepun), Akira Takasaki untuk mengiringi persembahan.
Afjets adalah sebuah syarikat yang memberi perkhidmatan penyewaan pesawat.
Sebagai imbuhan istimewa, penganjur juga menyediakan sekeping tiket percuma - sebagai penghargaan - kepada peminat yang sudah mendapatkan tiket awal bagi konsert yang sepatutnya diadakan 9 April ini.
A photo posted by Suhaimi A.Rahman > Amy SearcH (@akuamysearch) on

