Michelle Yeoh dilantik Duta Muhibah UNDP
Pelakon Bond Michelle Yeoh dilantik sebagai Duta Muhibah Program Pembangunan PBB (UNDP).
Aktres kelahiran Malaysia itu akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesedaran dan menggalakkan sokongan terhadap Matlamat Pembangunan Lestari UNDP yang dilancarkan baru-baru ini.
"Saya mahu berada bersama mereka yang tercicir, sama ada kerana mereka dilahirkan miskin, dilahirkan sebagai wanita atau di kawasan yang dilanda malapetaka.
"Sebagai Duta Muhibah UNDP, saya mahu melakukan yang terbaik untuk membantu mereka melepasi halangan yang dihadapi dan dapat merasai kehidupan yang lebih baik, dalam sebuah dunia yang lebih selamat dan bumi yang lebih sihat," menurut kenyataan UNDP yang memetik kata-kata Yeoh dalam sidang akhbar di ibu pejabat UNDP di New York pada 15 Mac.
Yeoh yang pernah mengalami sendiri gempa bumi yang melanda Nepal pada April 2015 semasa beliau melawat negara itu, berhasrat untuk menggunakan pengaruhnya sebagai pelakon untuk menyokong dan membantu usaha pemulihan bencana di Nepal dan di tempat lain.
Sementara itu, Pentadbir UNDP Helen Clark menyatakan rasa teruja mengalu-alukan seorang yang energetik dan bersemangat seperti Yeoh menyertai keluarga global UNDP.
"Ini merupakan tahun penting bagi pembangunan dan UNDP mencabar diri dan dunia untuk melaksanakan matlamat baharu global," kata Helen.
Yeoh yang dikenali masyarakat antarabangsa menerusi lakonannya dalam filem James Bond Tomorrow Never Dies dan melalui filem pemenang anugerah Akademi pengarah Ang Lee, Crouching Tiger, Hidden Dragon, turut diiktiraf melalui usaha dan aktiviti dermawan dan kesukarelawannya.
Antara penglibatannya dalam isu pembangunan ialah pelantikan sebagai Duta Global Kempen Keselamatan Live to Love pada 2012, Kempen Sifar Diskriminasi (UNAIDS) pada 2013, dan lawatan bantuan kemanusiaan Live to Love ke Nepal tahun ini.
- Bernama

