Komposer terkenal Fauzi Marzuki meminta semua mendoakan yang terbaik buat sahabatnya Datuk Adnan Abu Hassan yang ketika ini berada dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang.

Fauzi yang ditemui di tingkat lima hospital berkenaan malam tadi hadir menziarah Adnan bersama dua anaknya.

“Saya dapat tahu mengenai berita ini menerusi Facebook.

“Tetapi saya sudah sedia maklum mengenai kesihatan Adnan yang tidak begitu memuaskan sebelum ini.

“Keadaannya Adnan bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Harap kita semua dapat mendoakan yang terbaik buatnya,” katanya ketika ditemui Malaysiakini sebentar tadi.

Adnan, 57, dikenali sebagai komposer kreatif dan berbakat, dimasukkan ke ICU selepas mengalami sesak nafas kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

Keadaan Adnan dilaporkan amat lemah dan hanya berbaring sepanjang hari di rumah sebelum itu.

November tahun lalu, Adnan pernah diserang angin ahmar penyakit itu datang semula kira-kira dua minggu lalu.

Menurut Fauzi, hubungannya dengan Adnan bermula sejak bertahun-tahun dulu apabila mereka sering berkolaberasi dalam industri hiburan tanah air.

Pada masa itu, katanya, nama mereka berdua sedang melonjak dalam persada muzik.

Situasi industri tak menentu

Fauzi berkata, dia sedia maklum dengan pasang surut kesihatan Adnan, namun tidak menyangka kesihatannya begitu merosot kini.

“Kali terakhir saya jumpa dia waktu di Anugerah Industri Muzik.

“Ketika itu dia (memang) kelihatan tidak sihat, tetapi saya tidak menyangka ia menjadi seserius ini,” katanya.

Kata Fauzi, Adnan dikagumi kerana gubahan lagu yang dihasilkannya cukup memberi impak kepada sesiapa yang mendengarnya.

Namun, di sebalik situasi dalam industri hiburan yang tidak menentu, dia percaya, ia mungkin memberi sedikit sebanyak tekanan kepada Adnan.

“Keadaan industri muzik untuk generasi kami semakin melemah.

“Ia mungkin melahirkan kehidupan yang baik kepada segelintir, namun ada juga tidak.

“Dan mungkin itu juga beri tekanan kepada dia.

“Apa yang kita boleh harapkan ketika ini adalah berharap kepada keajaiban dan doakan yang terbaik untuknya,” katanya.

Hasil perkahwinan pertama, Adnan dikurniakan tiga anak iaitu Aiman Zamir, 20, Aina Zamira, 17 dan Adrian Zahir, 15.

Adnan pernah menghasilkan beberapa karya untuk penyanyi terkenal antaranya Misha Omar, Fauziah Latiff, Liza Hanim dan Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Antara lagu popular ciptaannya adalah Bunga-bunga Cinta dinyanyikan Misha Omar, Camar Yang Pulang (Aishah) dan Di Persimpangan Dilema (Nora).