DiCaprio ramal China jadi 'wira dunia'
Beberapa minggu selepas menyampaikan ucapan mengenai perubahan iklim dunia di majlis Anugerah Academy, Leonardo DiCaprio hari ini dilaporkan berkata China boleh menjadi "wira gerakan alam sekitar".
Tidak seperti sikap rasmi Washington yang berseteru dengan Beijing, DiCaprio sebaliknya memuji negara gergasi Asia itu kerana mengambil langkah penting menggunakan tenaga diperbaharui.
Tindakan berkenaan diambil Beijing sebagai salah satu langkah mengatasi masalah pencemaran udara dan penghasilan karbon.
Kata DiCaprio AS dan China adalah dua negara utama yang mengasilkan karbon.
"Pada masa sama saya rasa China mengambil langkah radikal menggunakan tenaga alternatif dan berdaya mapan," katanya di sidang media di Beijing semalam.
Selain pelakon disegani, DiCaprio dianggap pejuang alam sekitar kerana sering memperkatakan isu berkenaan secara terbuka melalui pengaruhnya sebagai selebriti.
DiCaprio melawat Beijing untuk memromosi filem The Revenant yang membawa tuah kepadanya di Oscar baru-baru ini.
Filem itu memulakan tayangan di China sejak Jumaat lalu dan setakat ini mengumpul jualan tiket AS$15 juta.
Kata DiCaprio dia memang yakin China mampu menjadi wira kepada gerakan alam sekitar.
"Mereka juga boleh menjadi wira kepada gerakan perubahan iklim. China mempunyai peluang mengubah dunia dan saya amat yakin negara itu akan melakukannya dengan sepenuh hati," katanya.
Sebelum ini DiCaprio sudah beberapa kali melawat China.
Walaupun China menjadi antara pengguna arang terbesar dunia negara itu juga banyak melabur untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan angin.

