Affleck 'luar biasa' dalam Batman v Superman
Beberapa hari lagi menjelang tayangan permulaan filem Batman v Superman: Dawn of Justice , Ben Affleck muncul dengan berharap peminat tidak mencurigai watak yang dibawanya.
Kata Affleck untuk membawa watak adi wira itu dia agak tertekan juga kerana tahu apa yang diharapkan peminat Batman.
"Anda semua perlu tahu betapa saya bersungguh-sungguh mahu melakonkan watak ini sebaik mungkin," katanya.
Secara jujur, Affleck memberitahu, bahagian paling sukar dijayakan dalam filem itu ialah aspek fizikal kerana ia memberi kesan kepada persepsi penonton kepada watak yang dibawa.
Untuk memuaskan hati peminat, Affleck meluangkan banyak masa di gimnasium bagi membentuk tubuh badan kekar.
Tambahan pula, kata Affleck, sebagai watak utama tumpuan kamera akan terarah kepadanya.
"Saya berada di gimnasium sejak jam enam pagi - setiap hari. Saya tak pernah melakukan aktiviti sebegitu tetapi demi watak Batman dan Bruce Wayne ia perlu dilaksanakan," katanya.
Pemilihan Affleck membawa watak Wayne dan Batman diumumkan Warner Bros tiga tahun lalu namun sesetengah peminat filem kurang teruja.
Rakan pelakon terkejut
Malah, sesetengah daripada mereka membuat petisyen kepada penerbit filem supaya watak itu diberikan kepada pelakon lain.
Namun akhirnya Affleck yang pernah memenangi Oscar sebanyak dua kali tetap terpilih dan dia sangat bangga menjadi sebahagian daripada legasi Batman.
"Saya bangga kerana menjadi seorang daripada watak Batman bersama Christian Bale dan Christopher Nolan. Juga Michael Keaton, Val Kilmer, George Clooney dan Tim Burton.
"Saya cuma mahu memberi yang terbaik. Kali ini saya rasa saya melakukan sesuatu yang berbeza namun tetap kuat dengan sifat Batman," katanya.
Batman v Superman: Dawn of Justice arahan Zack Snyder akan mula ditayangkan di Malaysia mulai Khamis ini.
Watak Superman dan Clark Kent pula dibawa Henry Cavill. Turut berlakon Amy Adams dan Jesse Eisenberg pula menjadi watak antagonis Lex Luthor.
Sementara itu Amy yang berlakon sebagai Lois Lane memuji lakonan Eisenberg dan Affleck.
"Saya rasa penonton perlu memilih siapa lebih hebat. Saya sudah menyaksikannya dan amat terkejut.
"Eisenberg dan Affleck membawa suatu lakonan yang tidak pernah kita saksikan pada watak Batman dan Luthor sebelum ini," katanya.
Our super cast. #BVSPremiere
Posted by Batman v Superman: Dawn of Justice on Sunday, March 20, 2016

