Sekiranya kes merebut hak penjagaan anak antara ratu pop Madonna dan suami Guy Ritchie tidak diselesaikan segera, ia mungkin membawa padah kepada anak lelaki mereka.

Menurut hakim Alistair MacDonald yang mengendalikan kes perbicaraan Madonna dan pengarah filem Britain itu, anak mereka Rocco, 15, seorang yang berfikiran matang.

Dan sebaiknya, sebagai ibu bapa bertanggungjawab, pasangan berkenaan diharap dapat meluangkan masa berkualiti bersama anak mereka.

“Buat kali terakhir, saya perbaharui rayuan ini agar kedua ibu bapa Rocco dapat mencari satu penyelesaian antara mereka,” kata Alistair seperti dilaporkan agensi berita Associated Press .

Kata Alistair, sayang sekali sekiranya pertelagahan ini berpanjangan, kerana ia tidak membawa faedah sebaliknya kerugian kepada Rocco.

Sebagai remaja yang sedang membesar, Rocco tidak harus terbabit sama dengan perbalahan antara ibu bapanya.

Ia akan menjadi tragedi buat Rocco kerana membesar dalam persekitaran sebegitu.

Madonna dan Ritchie – pengarah Lock, Stock and Two Smoking Barrels – berkahwin pada 2000 dan berpisah secara rasmi pada 2008.

Dalam sebutan kes, Madonna menggesa hak penjagaan Rocco diserahkan semula kepadanya yang menetap di AS.

Buat masa ini, Rocco tinggal bersama bapanya di England.

Madonna mengambil tindakan undang-undang di AS dan juga Britain untuk mendapatkan hak ke atas Rocco menerusi Konvensyen Hague 1980, berkaitan penculikan kanak-kanak antarabangsa.

Bagaimanapun, Madonanna meminta mahkamah Britain untuk menangguhkan perbicaraan dan diluluskan semalam.

Semasa sebutan kes diadakan di Mahkamah Tinggi London, Madonna dan Ritchie tidak hadir.

Madonna ketika ini sedang mengikuti jelajah konsert di Australia.

Perbicaraan seterusnya dijangka berlangsung di New York walaupun pada masa sama hakim menggesa pasangan berkenaan untuk mengutamakan anak mereka dan mengakhiri perbalahan yang memakan masa hingga berbulan.