Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Sejak hamil dan kini sudah bergelar ibu, pelakon Lisa Surihani berasa gelisah dengan berat badannya.

Pada masa sama, suami Yusry Abdul Halim (KRU) pula tidak kisah tentang hal itu.

Justeru, Lisa, 30, mempunyai cara tersendiri untuk mengatasi masalah berkenaan – dia mendesak Yusry supaya mendorongnya menurunkan berat badan.

“Saya kini dalam proses untuk menurunkan berat badan.

“Pada mata Yusry, berat badan saya kini langsung tidak membawa sebarang masalah kepadanya,” katanya selepas majlis pelancaran program eBu Babypedia terbitan Astro di Kuala Lumpur semalam.

Untuk mencapai berat badan ideal, situasi berkenaan membuatkan Lisa memasang imaginasi sendiri.

Dia perlu membayangkan Yusry adalah indiviu yang memaksanya untuk menurunkan berat badan.

“Saya berbuat demikian kerana sengaja memberi tekanan kepada diri sendiri.

“Yusry tidak pernah meminta saya untuk menjadi kurus.

“Justeru, Yusry juga tidak mahu orang lain beranggapan dia memberi tekanan kepada saya dalam soal ini,” katanya.

Lisa dan Yusry berkahwin pada 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan Yahaira Leanne pada 15 September 2015.

Tambah 4 kilo

Selepas melahirkan Yahaira, Lisa mengakui berat badannya kini melonjak hingga 61 kilogram.

Untuk memiliki tubuh badan yang ideal dia berazam untuk turun berat hingga 57 kilogram dalam masa terdekat.

Dan untuk itu, Lisa mengambil berat rutin harian yang dilakukan dan pemakanan yang dipilih.

“Saya lebihkan pengambilan sayur-sayuran dan protein tetapi mengurangkan karbohidrat.

“Saya juga melakukan (senaman) kardio dan membentuk tona badan untuk aspek fizikal.

“Selain itu, dengan usaha saya untuk kurus, suami juga turut terjebak dan dia menghadiahkan basikal agar kami dapat bersama-sama melakukan aktiviti sihat,” katanya.

Lisa dan Yusri menjadi hos untuk program ebu Babypedia – sebuah rancangan yang berkongsi petua, tradisi serta amalan dilakukan oleh ibu bapa di seluruh dunia dalam membesarkan anak.

Kata Lisa, sejak tempoh kehamilan hingga membesarkan Yahaira selama enam bulan, dia sentiasa mencari maklumat dan sumber rujukan yang boleh digunakan ketika berhadapan situasi yang memerlukan.

Dia menggunakan Google, namun Lisa dan Yusry sendiri tidak mengetahui kesahihan maklumat yang dibaca.

“Kami sebagai ibu bapa nak teroka persoalan yang sering ditanya mengenai bayi.

“Tidak semua mudah apabila menggunakan Google kerana khuatir ada pendapat yang bercanggah.

“Program ini membawa kebaikan kepada pasangan yang baru menjadi ibu bapa kerana beberapa maklumat yang dikupas mungkin jarang didengar tetapi boleh dimanfaatkan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS