Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Kurnia' Slam di Kuala Lumpur
Diterbitkan:  Mar 25, 2016 3:45 PM
Dikemaskini: 7:48 AM

Tidak pernah berkubur di hati peminat.

Itulah harapan dan semangat kumpulan Slam apabila membuat keputusan meraikan kegemilangan mereka selepas 20 tahun tidak muncul dengan konsert besar di Kuala Lumpur.

Hadiah untuk peminat, itu kata-kata vokalisnya Zamani.

“Istimewanya konsert ini adalah untuk peminat kerana dengan sokongan mereka, kami ada hingga ke hari ini.

“Ia juga menarik kerana akan menjadi satu pertemuan reunion antara Slam dan peminat,” katanya.

Konsert “Kurnia Slam” bakal berlangsung dua jam di StarXpo Centre, Kenanga Whole City (KWC) pada 14 Mei nanti.

Peminat berpeluang menghayati sekurang-kurang 25 lagu popular Slam pada hari bersejarah itu.

Untuk makluman, nama Kurnia itu diambil bersempena trek lagu popular dalam album Kompilasi Terbaik Slam (1995) yang terjual lebih 200,000 unit.

Sejak ditubuhkan pada 1992, Zamani, Shah, Ajak, Lily dan Man telah melalui pelbagai dugaan, termasuk anggota yang bersilih ganti hinggalah ke evolusi muzik mereka.

Slam terkenal dengan alunan lagu seperti “Tak Mungkin Berpaling”, “Gerimis Mengundang” dan “Buat Seorang Kekasih”.

Kali terakhir Slam membuat persembahan adalah empat tahun lepas untuk “Konsert Slam Kembali Merindu” di Singapura.

Bersama dalam kesibukan

Biarpun jarang muncul di kaca televisyen sejak tahun 2000, Zamani menegaskan mereka sebenarnya masih aktif dalam industri.

“Mungkin ramai orang menyangka Slam sudah tiada lagi, tetapi nyata kami masih lagi bersama cuma kesibukan kerja membataskan aktiviti,” katanya.

Menurut ketua kumpulan Shah pula, konsert “Kurnia Slam” akan dijadikan penanda aras kematangan mereka.

“Kami tidak seperti dulu kerana kematangan menambah pengalaman.

“Konsert itu bukan saja akan dinikmati oleh peminat tetapi semua penggemar muzik masa kini.

“Saya berjanji Slam akan mencurahkan pengalaman dan kemahiran yang pernah dikutip sepanjang bergelar pemuzik selama bertahun,” katanya.

Lihat Komen
ADS