Dengan lagak yang santai dan bersahaja, kumpulan dari Indonesia Sheila On 7 berhasil memberikan persembahan mantap buat peminat di Malaysia malam kelmarin sempena konsert ulang tahun ke-20 band itu ditubuhkan.
Sementara menanti kemunculan Sheila On 7 di atas pentas dengan perasaan penuh debar, sorakan demi sorakan menggamatkan suasana dewan berkumandang dari Sheila Gank – nama julukan buat penggemar setia muzik kumpulan itu.
Lampu yang tadi terang tiba-tiba dimalapkan.
Dan laungan peminat terhadap nama Sheila On 7 semakin riuh sewaktu kelibat satu persatu anggota kumpulan itu muncul di atas pentas.
Lagu pertama didendangkan oleh vokalis Akhdiyat Duta Modjo atau Duta adalah “Pria Terhebat”.
Duta beraksi pantas dan keletahnya yang penuh semangat dilihat berjaya membuatkan penonton terpegun.
Aksi Duta tidak lengkap tanpa tiga lagi anggota kumpulan itu iaitu Adam Muhammad Subarkah (bass), Eross Chandra (gitar) dan Brian Kresna Putro (dram) – yang sama-sama memainkan peranan untuk membuai perasaan Sheila Gank.
Menyanyi bersama
Ketika Duta menyampaikan 19 lagu antaranya “Sahabat Sejati”, “Sephia”, “Seberapa Pantas”, “Melompat Lebih Tinggi” dan lagu baru “Lapang Dada”, penonton tidak segan silu untuk menyanyi sama lagu yang didendangkan.
Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Sheila Gank setelah dapat melepas rindu dengan pemuzik kesayangan mereka di konsert yang bertemakan “Teman, Sahabat & Cintaku” itu.
Dianggarkan seramai 8,000 peminat bukan saja dari Malaysia, malah Brunei, Singapura dan Indonesia membanjiri ruang kosong Dewan StarXpo, KWC Mall, Kuala Lumpur malam kelmarin.
Terdahulu, Afad dari bekas kumpulan Rabbani dijemput membacakan doa sebelum memberi laluan kepada azan Maghrib.
Noh Salleh bersama kumpulan Restoe Ibu Band ‘merasmikan’ konsert untuk acara pembukaan. Noh menyampaikan tujuh lagu termasuk sebuah lagu duet bersama Nadira Adnan.
Antara lagu dinyanyikan Noh bersama Restoe Ibu Band adalah “Gelung”, “Angin Kencang”, “Biar Seribu” dan “Bunga di Telinga”.
Manakala Nadira menyampaikan sebuah lagu single “Isi Hati” dan duet untuk dengan Noh Sang, “Penikam”.
Mahu jadi lebih baik
Jika dilihat,semacam satu semangat amat dahsyat dan mengagumkan yang dilontarkan oleh Sheila Gank terhadap pemuzik kesayangan mereka sepanjang dua jam durasi konsert pada malam itu.
Maka, tidak dinafikan sekiranya Sheila On 7 mempunyai resepi tersendiri untuk kekal relevan dalam industri.
“Sampai sekarang kami menjadi penghibur disebabkan minat mendalam terhadap muzik dan usaha itu bukan semata-mata hanya mahu memuaskan hati orang lain.
“Untuk itu, kami rela mengambil risiko dalam menghasilkan lagu, jadi tidak hairan sekiranya peminat suka tetapi ada kalanya pada masa lain pula tidak,” katanya kepada Malaysiakini .
Justeru, kata Duta, mereka mahu menerapkan nilai dan pengalaman berharga selama 20 tahun sebagai penghibur untuk kekal utuh dalam industri.
“Kami yang sekarang sudah berbeza dari dulu. Tidak mungkin kami akan menghasilkan lagu yang sama seperti masa muda.
“Kami mahu menjadi pemuzik dan penghibur yang lebih baik dari dulu.
“Harapnya, seiring dengan umur, ilmu dan pengalaman, kami mampu bertahan dan itu juga yang dilakukan hingga kini,” katanya.
