Dalam mendepani irama muzik lain yang seiring peredaran zaman, ratu irama Malaysia Noraniza Idris tahu, dia tidak boleh hilang semangat.
Noraniza yang turut mendapat julukan ratu etnik kreatif itu turut berasakan dirinya masih perlu berkarya di samping memberikan sumbangan tersendiri pada industri muzik tanah air.
Dan sempena 30 tahun pembabitannya dalam industri, Noraniza mahu meraikan saat istimewa itu bersama peminat dalam sebuah konsert.
Konsert Lentera Muzik Noraniza Idris Masyhur 30 tahun yang dijangka selama satu jam setengah itu akan dirakam pada 5 April dan menempah slot tayangan di TV1 pada 9.30 malam 10 April depan.
Selama satu jam setengah itulah, peminat Noraniza akan dibawa mengimbau segala pahit getir yang dilalui wanita itu sepanjang dirinya bergelar anak seni.
Bagi penyanyi “Hati Kama” itu, sebagai penghibur dia perlu memartabat dan memperjuangkan irama etnik kreatif tradisional.
Pada hari meraikan pembabitannya selama puluhan tahun dalam dunia seni, Noraniza juga menjanjikan beberapa kejutan istimewa buat peminat di konsertnya itu nanti.
Dalam persembahan itu, beliau akan menggabungkan enam lagu etnik dan himpunan lagu rakyat fusion.
Lebih menarik. Tarian etnik dan tarian jalanan bercorak 'battle' akan digabungkan dalam persembahan itu.
Noraniza juga akan turut memperkenalkan beberapa lagu baru yang dihasilkan bersama dua penyanyi dan komposer baru iaitu Ihab Ismail dan L’zzay.
Tidak ketinggalan, beliau mahu menampilkan beberapa lagu etnik pribumi yang pernah mengharumkan nama negara ke mata dunia termasuk beberapa koleksi lagu hitsnya.
Untuk segmen penutup, Noraniza akan menghiburkan peminat dengan karya agungnya “Hatinya Tak Tahan”.
