Kehilangan insan tersayang yang disanjung tinggi membuatkan penyanyi Ariel Noah bagaikan tersentak dari tidurnya.
Menurut Ariel atau nama asalnya Nazriel Irham, 35, arwah bapanya itu dianggap sebagai insan yang membawa peranan penting dalam hidup, terutama sepanjang membesarkannya.
“Pada mata saya, arwah bapa amat luar biasa. Dia banyak mengajarkan perkara berguna kepada saya,” katanya.
Media tempatan Indonesia melaporkan, Ariel ditemui selepas selesai solat jenazah arwah bapanya Nazmul Irphan di masjid Al-Hudah Antapani, Bandung hari ini.
Ariel juga menjadi orang yang turut mengangkat keranda jenazah arwah bapanya, malah dia juga enggan tempatnya itu digantikan oleh sesiapa pun.
Majlis solat jenazah berkenaan dihadiri oleh ratusan sahabat handai dan kenalan keluarga Ariel termasuk kekasihnya Sophia Latjuba.
Arwah Nazmul dilaporkan meninggal dunia di Bandung semalam.
Menurut vokalis band Noah itu, dia langsung tidak menduga pemergian bapanya akan berlaku dalam tempoh terdekat. Band Noah dahulunya dikenali sebagai Peterpan.
Nazmul diberitakan meninggal dunia akibat mengalami komplikasi jantung dan ginjal.
Terdahulu, arwah dirawat selama sebulan di Hospital Advent Bandung.
Kata Ariel, dalam pada arwah dirawat, dia tidak pula menunjukkan kelakuan ganjil cuma mengutarakan satu permintaan terakhir.
“Pernah satu ketika dia meminta saya segera membawanya pulang ke rumah semasa di hospital.
“Arwah bapa menyatakan hasratnya itu sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir,” katanya.
Sebaik mendapat tahu berita pemergian arwah bapanya itu, Ariel segera bergegas pulang ke Bandung walhal dia sedang mempersiapkan diri untuk melangsungkan konsert di Malang, Jawa Timur dan empat lokasi lagi yang tidak dinyatakan.
Selepas selesai menghadiri majlis pengebumian, Ariel bakal bertolak semula ke Malang kerana konsert yang dijadualkan tidak boleh dibatalkan begitu saja.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih buat semua pihak yang mendoakan arwah bapa. Semoga doa berkenaan diterima dan kebaikan berbalik kepada kita semua,” katanya.
