Nik Abduh puji Munafik, sindir penyokong PAS
Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz memuji filem arahan Syamsul Yusof, Munafik yang dianggapnya mempunyai unsur Islamik yang jelas.
Namun bagaikan pepatah pukul anak sindir menantu, bersama pujian kepada Munafik itu Nik Abduh menggunakan hujah sama untuk menegur sesetengah penyokong PAS yang dianggapnya memperlekeh parti berkenaan.
Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, beberapa unsur keagamaan yang diangkat dalam Munafik dapat dijadikan sebagai iktibar kepada orang ramai.
Justeru, anak bekas menteri besar Kelantan itu secara tidak langsung mengaitkan judul filem berkenaan dengan sikap sesetengah ahli partinya yang tidak senang dengan pendekatan PAS sekarang.
Bagi Nik Abduh, pihak berkenaan mempunyai "sifat buruk" yang "menyemburkan" kecaman kepada parti melalui "lidah bercabang".
"Sifat buruk itu, seorang anak muda hijrah menamakan filem baru bikinannya dengan nama itu.. MUNAFIK!" tulis Nik Abduh di Facebooknya hari ini.
PAS sedang berdepan dengan kritikan dari dalam dan luar parti gara-gara pendirian pimpinan parti itu menghadapi situasi politik semasa.
Terus berusaha berhijrah
Ketika sebahagian besar ahli parti yang tidak bersetuju dengan pendekatan PAS yang dilihat berbeza berbanding sebelum ini, sesetengah ahli masih menaruh harapan parti berkenaan akan berubah pada masa depan.
PAS kini didominisi kumpulan konservatif dan baru-baru ini menjalin kerjasama politik dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia untuk membentuk "blok ketiga politik".
Nik Abduh adalah antara tokoh paling ke depan mempertahankan pendekatan politik terbaru PAS.
Kata Nik Abduh, filem
Munafik
dikhabarkan sebagai bagus dan beliau memberi perangsang kepada Syamsul untuk terus "berusaha" untuk "berhijrah."
Beliau juga berharap semoga industri "perfileman negara alami transformasi yang dinantikan umat".
Filem Munafik diterbitkan Skop Production iaitu syarikat bapa Syamsul, Datuk Yusof Haslam.
Setakat ini Munafik yang menelan belanja hampir RM2 juta itu masih ditayangkan di pawagam.
Menurut laporan dikeluarkan Finas, jumlah jualan tiket Munafik mencecah RM13 juta dalam tempoh kurang sebulan ditayangkan.
Di akhir status itu Nik Abduh menulis: "MUNAFIK kekal buruk dalam kehidupan. Kun Anta Mukminan Wa La Takun Munafiqan! "

