WAWANCARA Penampilan unik band berasal dari Utara, Kelembai, dengan imej bertopeng rupa-rupanya lahir daripada idea tidak dirancang.
Idea itu muncul secara spontan ketika mereka merakam video persembahan pertama.
"Sebenarnya kami agak malu, biasalah kalau kita main muzik tak betul atau suara tak sedap nanti orang kata macam-macam.
"Sebab itu ketika pertama kali kami merakam persembahan (depan kamera video), kami secara spontan tutup muka.
"Apabila video itu dimuat naik di Facebook, kami terkejut ramai orang suka dengan penampilan itu," kata pemain bass yang hanya mahu dikenali sebagai Raoh.
Kelembai merupakan kumpulan muzik dari Kulim, Kedah yang kini berusia setahun lima bulan. Mereka mula menarik perhatian peminat industri hiburan dengan gaya tersendiri.
Raoh berkata, susulan reaksi terhadap penampilan aneh itu mereka membuat keputusan untuk bergerak ke hadapan dengan mengekalkan imej rahsia begitu.
"Mula-mula kami pakai apa saja untuk tutup muka, kemudian kami pilih identiti masing-masing. Sebab itu sekarang ada yang pakai topeng, topi kaledar dan baldi," katanya ketika diwawancara Malaysiakini, kelmarin.
Kekal bertopeng
Ditanya kemungkinan satu masa nanti Kelembai tidak lagi merahsiakan identiti, Raoh berkata seboleh-bolehnya mereka akan kekal dengan cara sekarang.
"Kami pernah terfikir untuk tidak lagi bertopeng, tetapi apabila ditanya kepada peminat, mereka lebih suka cara kami sekarang. Kami dikenali dengan penampilan seperti ini.
"Risau juga bila menukar imej, peminat pun lari," katanya.
Selain Raoh, Kelembai turut dianggotai Buang (gitaris), Tamin (gitaris), Budin (dram) dan Kuzie (vokalis).
Walaupun awalnya mereka sekadar menjadi artis di laman YouTube dan media sosial, kini Kelembai semakin ke hadapan dan mendapat perhatian penganjur program-program hiburan.
Selain berpakaian unik, mereka juga mencipta rakaman video dengan kelainan yang sukar diduga penonton. Antaranya penyanyi keluar dari peti ais.
Lagu lama, nafas baru
Buang pula berkata, selepas penampilan mereka menjadi viral semakin banyak undangan diterima untuk mengadakan persembahan.
"Alhamdulillah kehadiran kami semakin diterima oleh peminat muzik tempatan, cuma kami belum ada peluang untuk menjadi artis rakaman mana-mana syarikat besar.
"Buat masa ini kami sedang usahakan sendiri untuk penerbitan album sulung tidak lama lagi," katanya.
Menceritakan impian masa depan, Kelambai berharap mereka akan diterima dalam industri muzik tempatan khususnya kerana menghidupkan lagu-lagu retro.
Menurut Buang, setiap penampilan mereka dengan menyanyikan semula lagu-lagu lama adalah untuk memberi nafas baru kepada lagu tersebut melalui cara berbeza.
